utama

[UPDATE] Enam bomba lemas

Oleh Wartawan NSTP

ENAM anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas di lombong, Taman Putra Perdana, Puchong, hari ini.

Jurucakap Bomba Selangor berkata, kejadian dipercayai ketika mereka terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja berusia 17 tahun yang terjatuh di lombong berkenaan.

“Mangsa belum dijumpai dan terdapat enam orang pegawai bomba (PPDA) dilaporkan lemas ketika menjalankan operasi pencarian mangsa.

“Mereka berjaya dinaikkan ke atas dan pasukan perubatan yang berada di lokasi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Tetapi, kesemua enam orang pegawai bomba disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan sebelum kejadian, remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama dua lagi rakannya.

Komander Operasi JBPM daripada Balai Bomba Cyberjaya, Roslan Long dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sedang melakukan persiapan untuk memancing apabila mangsa remaja lelaki itu terjatuh ke dalam lombong.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum lapan pegawai dan anggota sampai di lokasi 30 minit kemudian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Berita lanjut menyusul

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 11:21pm
d