utama

Ramli, Khaty paling serasi

Oleh Amirul Haswendy Ashari

MALAM esok dua figura ini bakal menamatkan konsert jelajah Doa Buat Kekasih Ulang Tahun ke-30 di Istana Budaya, Kuala Lumpur dan terakhir di Esplanade, Singapura pada 17 Oktober depan.

Bertemu secara santai di sebuah restoran di sini, minggu lalu, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim berkongsi keseronokan masing-masing mengenai kerjaya mereka.

Tiga dekad dianggap pasangan duet paling serasi pastinya banyak asam garam yang tidak diketahui anak seni era ini. Resipi dan rahsia keteguhan sering menjadi tanda tanya, malah daripada peminat mereka sendiri.

Ramli berkata, Khadijah atau dikenali sebagai Khaty adalah pasangan serasinya dalam mengalunkan

lagu.

“Kami memulakan kerjaya di era hampir sama, jadi mudah untuk kami bekerjasama. Lagipun beliau ada julat vokal nada rendah yang sedap dan tidak ramai penyanyi mempunyainya.

“Saya sudah berduet dengan ramai penyanyi, tapi bersama beliau, impaknya nampak lebih serasi. Dia istimewa,” kata Ramli mengenai pasangan duetnya itu terutama menerusi lagu berhantu Doa Buat Kekasih yang segar hingga kini.

Perkara sama dikongsikan Khadijah yang juga mesra disapa ibu dalam kalangan anak seni.

Katanya, mereka saling memahami kehendak lagu dan keperibadian terutama julat vokal yang saling melengkapi.

Tanpa merendahkan sesiapa, ramai penyanyi duet terdahulu seperti Hail Amir dan Uji Rashid, Sharifah Aini dan Broery Marantika mempunyai aura tersendiri.

Mereka juga akui ramai bakat baru yang tampil dengan lagu duet mempunyai kelebihan, cuma dari segi penjiwaan dan memahami pasangan duet masing-masing masih kurang dan boleh diperkemaskan lagi seiring kedewasaan serta kematangan.

Ramli berkata, dia sering mendapat permintaan daripada penyanyi untuk berduet dan meminta menghasilkan lagu untuk mereka, tapi ramai seolah-olah tidak serius.

“Ia bukan soal bajet, tapi saya sentiasa looking forward untuk merakam muzik secara live kerana ia lebih nikmat,” katanya.

Tanpa prejudis, Ramli akui sudah menikmati segala kenikmatan dan kasihan melihat perkembangan muzik anak muda ketika ini.

Katanya, kebanyakan lagu tidak bertahan lama dan hanya memikat pendengar pada jangka pendek.

“Jika lima tahun lalu, kita suka dengan kehadiran ini (lagu dan penyanyi baru), tapi untuk menjadi artis dan sebagainya, kena banyak pengorbanan sebab terlalu muda dan mudah.

“Mungkin kita tidak terfikir mengenai pendapatan, tapi sekurang-kurangnya biar tebal dengan karya. Kena ingat, peminat akan sering bertukar,” katanya.

Bercerita mengenai lagu baru, penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock dan popular dengan lagu-lagu seperti Sejuta Wajah, Jangan Tunggu Lama Lama, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta dan Bukan Kerna Nama ini baru saja merakam tiga lagu baru.

Beliau yang cukup selesa berbicara mengenai kehidupan dan agama setiap kali bertemu berkata, tiga lagu baru itu dicipta tiga bulan lalu.

Lagu berjudul Seri Kandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat dan sebuah lagi belum diberi judul berkisar kehidupan dan sejarah Islam.

“Lagu Seri Kandi Zaman kehebatan wanita dan diilhamkan daripada isteri Rasulullah, Siti Khadijah. Saya masih terfikir untuk berduet atau tidak untuk lagu ini kerana ia mencerminkan wanita hebat seperti Siti Khadijah, Siti Mariam, Aisyah dan ramai lagi.

“Lagu ini adalah lambang buat ibu, isteri malah lebih dekat buat ibu tunggal yang berkorban untuk membesarkan anak tanpa suami,” katanya.

Ditanya jika mahu berduet dengan penyanyi wanita muda, Ramli dengan lembut menolak cadangan itu.

Lagu untuk palestin

“Mereka bukan tidak boleh, tapi tahap yang sesuai untuk sampaikan kena sesuai dengan penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, lagu Sentosa Di Kubah Hayat pula disifatkan sebagai lebih progresif dan moden.

Lebih indah, lagu itu bercerita mengenai isu yang masih membelenggu Palestin dan mencari sebuah kedamaian.

“Tapi lagu ini tidak sesuai disampaikan dalam konsert biasa, sebaliknya ia jatuh dalam kategori showcase yang berlainan berkaitan isu Palestin,” katanya.

Berada pada usia lewat 50-an bukan alasan untuk Ramli dan Khadijah tidak dapat memberi persembahan hebat malam esok.

Ramli berkongsi, amalannya hanya sentiasa minum air kosong dan melakukan sedikit senaman ringkas selain menjaga pemakanan.

Khadijah pula mendedahkan tiada sebarang pantang larang diamalkan, malah beliau sendiri peminat makanan pedas dan minuman sejuk.

“Cuma, saya sentiasa akan pastikan mempunyai tidur yang cukup, selain menjaga pemakanan supaya tidak terlalu banyak dan melakukan sedikit senaman.

“Biasalah apabila semakin berusia, kita mudah dijangkiti penyakit seperti selesema atau batuk dan ia adalah masalah besar yang boleh menjejaskan vokal,” katanya.

Walaupun sudah lebih tiga dekad bergelar penyanyi, beliau masih gementar setiap kali berdiri di atas pentas.

Katanya, perasaan itu tidak hilang dan sangat membantu untuk penyanyi sepertinya memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Katanya, gementar sangat penting buat penyanyi kerana dari situ mereka berusaha melakukan persembahan terbaik.

Beliau akui usahanya menjelang konsert malam esok hanyalah memastikan pakaian dan aksesori dipakai kelak menepati tema.

“Saya tak risau sangat pasal perkara lain kerana ada kru profesional menguruskan teknikal dan muzik, cuma bimbang pasal baju. Saya pula akan keluar untuk beberapa segmen tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Khadijah juga mengumumkan baru saja muncul dengan sebuah rekod atau LP, Koleksi Ikhlas Terbaik yang mengandungi 10 lagu pilihannya.

“Cetakan pertama sebanyak 500 unit dan album ini dihasilkan di Australia. Saya mengambil masa hampir setengah tahun untuk berbincang dengan Shan Selvadurai sebelum menghasilkan LP ini,” katanya.

LP itu memuatkan lagu antaranya Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka dan versi asal Doa Buat Kekasih.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 5:30am
d