utama

Laungan minta tolong

Oleh HM Digital

KUALA LUMPUR: “Masih terbayang dalam ingatan saat kejadian dan saya masih terdengar suara mereka meminta tolong.

“Saya bersama rakan setugas silih berganti memberikan bantuan pernafasan bagi memulihkan mangsa yang tidak sedarkan diri.

“Malah, kami terpaksa menggunakan kaedah bantuan pernafasan mulut (CPR) disebabkan peralatan Bag Valve Mask (BVM) terhad waktu itu. Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya kerana mangsa sudah meninggal dunia,” kata Muhd Azul Islami Abdul Razak yang turut berada di lokasi ketika tragedi enam anggota Pasukan penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Island, Puchong, malam kelmarin.

Pemandu Ambulans Hospital Putrajaya itu berkata, ketika kejadian, dia ditugaskan untuk menggantikan sepasukan anggota dari unit ambulans yang bertugas bagi shif petang di lokasi berkenaan.

“Saya tiba di lokasi kira-kira jam 9 malam dan waktu itu PPDA baru turun ke dalam air untuk membuat pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas.

“Masa itu, saya bersama enam anggota unit ambulans sedang mengangkat peralatan perubatan dari ambulans untuk dibawa ke tebing lombong sebelum terdengar suara meminta tolong.

“Kami segera pergi ke tebing lombong berkenaan dan melihat beberapa anggota sedang menarik tali bagi menyelamatkan enam mangsa terbabit, tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Muhd Azul, pihaknya tidak dibenarkan untuk turun ke lombong bagi membantu mangsa berikutan keadaan arus terlalu deras.

“Kami hanya menunggu sehingga mangsa dibawa naik ke tebing oleh pasukan bomba yang bertungkus-lumus menyelamatkan enam rakan mereka.

“Kami bersama pasukan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berada di lokasi cuba memberikan bantuan pernafasan, tetapi gagal dan mereka disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Serdang.

“Saya sudah banyak kali terbabit dengan operasi bomba sepanjang tujuh tahun saya berkhidmat sebagai bersama Hospital Putrajaya, tapi tragedi ini adalah kejadian pertama berlaku di depan mata yang mengorbankan nyawa pasukan penyelamat,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2018 @ 10:00am
d