utama

Wayang gedung cap ayam [METROTV]

Mahaizura Abd Malik dan Noriza Sainal

KUALA LUMPUR: Barangan dan pakaian sukan yang digantung dalam kedai sekadar wayang saja, sedangkan tempahan dilakukan menggunakan aplikasi WhatsApp.

Pelanggan kemudian diberikan butiran masa dan lokasi perjumpaan untuk mengambil tempahan.

Itu modus operandi jual beli barangan dan jersi tiruan didalangi pembekal warga Pakistan dan tempatan bagi mengelakkan aktiviti itu daripada dihidu pihak berkuasa.

Hasil tinjauan di sebuah gedung yang menghimpunkan pelbagai barangan pada harga borong mendapati, kedai berkenaan hanya mempamerkan pakaian sukan gred bajet saja.

Difahamkan barangan seperti jersi futsal dan bola sepak adalah disasarkan kepada pelajar sekolah kerana ditawarkan pada harga RM20 saja sehelai.

Peliknya sepanjang pemerhatian di bangunan itu, wartawan gagal menemui kedai menjual jersi tiruan pasukan kelab yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Serie A, Bundesliga, La Liga, Piala Dunia dan Piala Euro.

Namun teka-teki akhirnya terjawab selepas seorang peniaga jersi tiruan yang menjadi pelanggan tetap di situ mendedahkan, waktu urus niaga bermula jam 5 petang secara umumnya.

Namun, pembekal didalangi peniaga warga asing dan tempatan itu cuma mahu berurusan menggunakan WhatsApp termasuk bagi tujuan membuat tempahan.

“Mula-mula dulu, saya selidik dan selalu tanya: dah buka kedai ke? mereka cakap masih buka tapi hanya 4 petang, tapi bila saya pergi tak buka juga.

“Rupa-rupanya mereka masih bayar sewa lot kedai cuma tidak berurus niaga dalam premis sebaliknya berlegar-legar di keliling bangunan, sebab itu kalau datang tengah hari banyak kedai tutup atau jual jersi biasa saja.

“Jadi, pelanggan tetap macam saya buat tempahan berdasarkan katalog dihantar menerusi WhatsApp. Lepas buat pengesahan mereka beri saya lokasi dan masa buat pembayaran dan ambil barang,” katanya.

Katanya, pembekal jersi tiruan licik kerana masa dan lokasi pertemuan kerap berubah.

Dia yang mula berniaga secara sambilan sejak 2010 berkata, kebanyakan pembekal cukup berwaspada apabila hanya berurus niaga dengan pelanggan tetap dan dikenali saja serta menetapkan beberapa syarat ketat.

“Kalau orang baru mereka buat tak layan kecuali ada orang lama syorkan. Biasanya waktu mengambil barang tempahan sekitar jam 5 petang hingga 7 malam di kawasan parkir, mahupun pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur.

“Tempat bertukar-tukar, contoh hari ini jumpa di tingkat empat, esok tingkat lima dah macam jual dadah.

“Pernah pada musim Piala Dunia 2018 yang lalu, saya buat tempahan di bangunan A, bayar di bangunan B dan ambil barang di tempat letak kereta di bangunan C,” katanya.

Lelaki itu memberitahu, permintaan tinggi orang ramai menyebabkan pembekal mengambil peluang membawa masuk jersi gred A atau 80 peratus menyerupai produk asli itu dari China dan Thailand.

“Saya pernah terserempak dengan beberapa peniaga kecil-kecilan macam saya yang datang dari merata tempat seperti Johor, Perak dan Pahang.

“Mereka datang ke Kuala Lumpur membawa plastik guni semata-mata mahu mengambil stok bekalan jersi tiruan yang akan dijual.

“Kuala Lumpur memang menjadi hab untuk pengedaran barangan tiruan ke seluruh negara,” katanya.

Wartawan turut melakukan risikan di kedai menjual beg tangan tiruan dan untuk menjadi ejen pembekal meletakkan syarat setiap orang baru perlu melakukan pembelian tiga kali.

Syarat lain ditetapkan pula pembelian perlulah membabitkan tiga unit beg tangan berharga RM200 dan keatas bagi setiap kali urusan.

Harga borong ditawarkan serendah RM20 dan RM65, membabitkan tawaran pelbagai jenama tersohor dunia seperti LV, Gucci, Prada dan Coach.

Meskipun barangan tiruan, cop jenama popular tertera pada beg dan kualiti yang baik menyebabkan produk itu menjadi buruan orang ramai dan memberi keuntungan berganda hingga ratusan ringgit kepada penjual.

Sementara itu seorang peniaga wanita ditemui memaklumkan seseorang perlu melepasi syarat tertentu sebelum dibenarkan menjadi ejen dalam kumpulan mereka.

“Kami jual untuk regular customer (pelanggan tetap) saja. Memang kena walk in (datang) tak boleh tempah online (atas talian) atau call (panggilan telefon).

“Biasanya kita akan cam (kenal) sebab perlu datang sini tiga, empat, lima kali dan perlu beli RM200 ke atas. Ada bukti baru boleh join (sertai) group (kumpulan) secara online,” katanya.

Malah wartawan cuba pula mendekati peniaga di kedai kedua dan ketiga yang memberitahu barangan dijual diambil dari China.

Selain itu, tinjauan di kedai barangan kulit dan beg berjenama tiruan di sekitar Chow Kit, mendapati pembekal menggunakan modus operandi sama.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 8:01am
d