utama

Cari mayat berpandu lalat [METROTV]

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Palu: Tidak ubah seperti
kiamat kecil. Itu gambaran penulis ketika memasuki lokasi penempatan Petobo di sini, yang musnah keseluruhannya akibat digulung tanah dan ditenggelami lumpur hitam.

Difahamkan kira-kira 9,000 rumah penduduk dalam jarak sejauh tiga kilometer ‘ghaib’ sama sekali selepas ditelan lumpur likat yang membentuk timbunan tanah mencapai setinggi lima meter.

Biarpun malapetaka gempa bumi dan tsunami sudah berlalu seminggu lalu, ribuan mayat penduduk penempatan Petobo yang ditelan lumpur hitam itu masih gagal ditemui.

Beratus petugas sukarelawan Indonesia dibantu angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih bertungkus-lumus sejak hari kedua kejadian dalam usaha mencari seramai mungkin mayat mangsa yang masih terbenam di dalam bukit lumpur.

Kepenatan jelas kelihatan di wajah mereka apabila satu demi satu mayat mangsa dibawa keluar dari dalam tanah yang dikorek menggunakan dua jengkaut kelmarin.

Malah, tangisan ahli keluarga jelas kedengaran sejurus mayat mangsa yang sudah berulat dan mula hancur ini dibawa keluar menggunakan plastik hitam dari lokasi bencana.

Petugas Palang Merah Indonesia (PMI) Titus Charles, 40, berkata, cuaca panas terik selain kemusnahan luar biasa dibawa lumpur hitam itu menjadi cabaran utama pasukan penyelamat.

Menurutnya, kebanyakan pasukan sukarelawan kini berpandukan bau busuk dikeluarkan mayat mangsa selain lalat yang menghurungi kawasan tertentu bagi mengenal pasti lokasi mayat.

“Kebanyakan mayat penduduk Petobo ditemui sudah tercerai anggota tubuh dan mula mereput. Mereka seolah-olah dikisar tanah lumpur itu bersama rumah didiami ketika kejadian 28 September lalu.

“Hampir setiap hari akan ada mayat baru ditemui. Hari ini saja, lima mayat mangsa berjaya ditemui. Semua mangsa itu sudah mereput dan ada yang berulat,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 100 anggota Badan SAR
Nasional (Basarnas) TNI bertungkus-lumus setiap hari bagi menjejaki mayat mangsa walaupun misi itu dianggap amat sukar.

“Bencana ini (lumpur hitam muncul dari dalam bumi) berpunca daripada gempa bumi. Bencana ini amat luar biasa dan tidak pernah diduga sesiapa. Hampir 70 peratus penghuni kampung ini mati begitu saja,” katanya.

Tinjauan wartawan mendapati lokasi bencana ditutup kepada orang ramai dan hanya pasukan penyelamat dan sukarelawan dibenarkan memasuki lokasi itu.

Sementara itu, Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia Acmad Ramadan yang ditemui berkata, setakat ini seramai 1,558 mangsa disahkan maut dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang berlaku berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Menurutnya, bencana ‘kampung hilang’ turut menimpa kawasan perkampungan lain antaranya Tondo, Parimo dan Punglere.

“Sehingga kini, 2,549 mangsa disahkan cedera dan dihantar untuk rawatan termasuk diterbangkan ke hospital di Makassar. Malah, beribu lagi mangsa dilaporkan hilang akibat bencana ini.

“Sebanyak 65,733 rumah turut musnah dan ini menyebabkan ramai penduduk bertukar menjadi pelarian serta terpaksa menghuni khemah sementara,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari mangsa yang tertimbus atau hilang ini akan diteruskan walaupun mungkin akan mengambil masa berbulan lamanya.

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 2:47pm
d