utama

'Sepatutnya kami dalam air itu...'

Oleh Ruwaida Md Zain

TIDAK tergambar perasaan dan keresahan anggota Pasukan C dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sepanjang perjalanan menuju ke lokasi di Taman Putra Perdana, Puchong Rabu lalu.

Apatah bila menerima maklumat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang mengalami masalah.

Selang beberapa minit kemudian, maklumat seterusnya diterima, anggota PPDA Selangor lemas, namun anggota PPDA Pasukan C, Shah Nizam Yusuf, 25, masih berfikiran positif dan beranggapan lemas yang dimaksudkan tidak memudaratkan.

Namun, telahan itu tersasar kerana enam anggota pasukan itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi operasi SAR seorang remaja berusia 17 tahun di Puchong.

"Saya tidak menyangka lemas sampai sejauh itu (meninggal dunia). Ingatkan lemas biasa mungkin tersedak air sahaja tetapi 15 minit sebelum menghampiri lokasi, dapat maklumat lima orang meninggal dengan pengesahan paramedik yang berada di lokasi.

"Memandang ketika itu masih dalam proses bantuan pernafasan kecemasan (CPR), saya masih harap ada yang selamat, tidaklah lima anggota semua sekali gus pergi.

"Tetapi, apabila tiba di lokasi, saya lihat empat jenazah ditutup kain putih di atas pengusung, kemudian datang lagi satu jenazah dengan pengusung yang bertutup kain putih juga.

"Dan tiba-tiba, satu lagi jenazah ke-enam, saya terkejut sebab maklumat awal lima orang sahaja, tak sangka pula enam orang. Rupa-rupanya, arwah Yahya (Yahya Ali, 24) turun kerana hendak selamatkan yang lain," katanya kepada NSTP.

Kehilangan enam rakan serentak menyebabkan ada anggota bomba yang menangis, kelu, terkedu, lemah longlai sehingga terpaksa dipapah kerana terkejut melihat jenazah rakan mereka di atas pengusung.

Ketika ditemubual NSTP, Shah Nizam kelihatan tenang namun perbualan sesekali terhenti kerana beliau cuba mengawal perasaan sebak yang terbuku di hati apabila mengimbas kembali detik itu.

Shah Nizam berkata, beliau dan anggota lain membuka satu persatu kain putih yang menutupi jenazah untuk memastikan itu benar-benar rakan mereka dari Pasukan B yang terbujur kaku.

"Apabila buka satu persatu kain itu, memang semua anggota yang kami kenal, kami jadi kelu sambil beristighfar.

"Kemudian kami angkat dan susun enam jenazah itu di dalam lori elok-elok, memang kami ikut dan duduk bersama jenazah untuk dibawa ke Hospital Serdang bersama Cikgu Rodzi (anggota bomba, Mohd Rodzi Ramli, 32) dan Abang Mat (Che Ahmad Kilau Che Min, 48, anggota paling senior dalam pasukan terbabit)," katanya.

Beliau berkata, setiba di hospital, ramai sudah menunggu jenazah kerana berita kematian itu sudah tersebar termasuk anggota dari balai yang tidak terbabit dalam operasi berkenaan.

"Kami tunggu sampai pagi sehingga selesai proses di hospital, kemudian bawa ke balai ini (BBP Shah Alam) untuk disolatkan.

"Sehingga diserahkan kepada keluarga masing-masing, kiranya itulah perkara terakhir yang kami mampu buat untuk mereka," katanya.

Shah Nizam berkata, ketika dirundung kesedihan, seorang pegawai agama dalam pasukan memintanya dan rakan yang lain untuk tidak bersedih dan risau kerana keenam-enam rakan yang dijemput Ilahi dalam keadaan baik iaitu dengan niat untuk menyelamatkan dan ia termasuk dalam mati syahid.

Katanya, beliau dan rakan juga terfikir, jika bukan keenam-enam rakannya itu yang terkorban, mungkin ia membabitkan seorang anggota dalam pasukannya kerana waktu kejadian sudah memasuki syif kerjanya yang bermula 8 malam.

"Saya pergi masuk tengok wajah mereka semua, tersenyum, seolah-olah sedang tidur. Wajah mereka berseri-seri," katanya yang terharu pengurusan jenazah dipermudahkan, cepat dan ramai menziarahi arwah.

Shah Nizam berkata, beliau tidak menafikan perasaan sedih dan sebak yang terbuku dalam hati namun beliau bangga dengan semua yang terkorban.

"Dalam sedih ada ketenangan. Tipulah cakap tak sedih, tapi memang sudah takdir mereka. Pada masa sama, saya bangga dengan apa yang dilakukan, cemburu pun ada kerana bukan semua dan senang nak dapat (mati syahid)," katanya.

Sementara itu, Che Ahmad Kilau tidak dapat meneruskan temubual kerana terlalu sebak apabila mengenangkan tragedi malam itu.

"Itu waktu kami bertugas, sepatutnya kami yang berada di dalam air itu," katanya yang mengalirkan air mata.

Abang Mat yang berkhidmat sejak 23 tahun lalu, menyertai PPDA kira-kira 11 tahun lalu.

Rabu lalu, enam anggota PPDA maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 8:12pm
d