utama

Sebar Salafi Jihadi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lapan lelaki termasuk tujuh warga asing terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis di negara ini ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tiga serbuan serentak dijalankan di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor pada 24 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai penuntut, bekas tenaga pengajar atau bekas penuntut.

“Tangkapan dibuat susulan maklumat risikan diperoleh polis berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi di Yaman untuk menubuhkan pusat pengajian Islam di Asia Tenggara bagi menyebarkan fahaman itu.

“Siasatan awal pihak polis dan perkongsian maklumat risikan dengan agensi perisikan asing mendedahkan tenaga pengajar asing serta penuntut asing di pusat pengajian Islam itu mempunyai hubungan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yaman diasaskan oleh Syeikh Muqbil bin Hadi Al Wadi’i yang juga tokoh Salafi Jihadi ekstrim,” katanya pada kenyataan semalam.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama di Perlis membabitkan lima warga sebuah negara Eropah dan seorang warga sebuah negara di benua Amerika.

“Keenam-enam suspek berusia 24 hingga 38 tahun penuntut sebuah pusat pengajian Islam di Perlis. Seorang daripada suspek yang ditahan adik ipar kepada seorang rakyat sebuah negara jiran di Asia Tenggara.

Suspek mempunyai hubungan dengan Madrasah Syeikh Muqbil di Yaman selain turut menjalani latihan mengendalikan senjata api.

“Hasil maklumat risikan diperoleh daripada agensi perisikan asing mendedahkan keenam-enam suspek sama ada mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh atau kumpulan ekstremis lain yang bergerak di negara asal mereka,” katanya.

Menurut beliau, tangkapan kedua di Kuala Lumpur membabitkan seorang suspek warga sebuah negara di Timur Tengah berusia 33 tahun yang juga bekas tenaga pengajar di pusat pengajian Islam sama di Perlis.

“Suspek aktif menganjurkan kelas agama yang tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri bagi tujuan menyebarkan ideologi Salafi Jihadi dalam kalangan rakyat di negara ini di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan ketiga di Muar, Johor pula membabitkan seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai peniaga.

“Suspek adalah bekas penuntut pusat pengajian Islam sama pada 2014. Suspek menolak sistem demokrasi yang dianggap toghut (tidak mengikut hukum Allah) dan menyokong pelaksanaan sistem khalifah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, madrasah di Yaman itu berpegang kuat dengan ideologi Salafi Jihadi yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka dianggap kafir serta melabelkan sistem demokrasi sebagai toghut.

“Hasil soal siasat awal terhadap suspek yang ditahan mendedahkan mereka menolak sistem demokrasi dan ditanam dengan fahaman ekstrim seperti lelaki dan wanita diharamkan memakai seluar, mendakwa pengajian sekular di institusi pengajian tinggi awam serta swasta adalah haram, tidak dibenarkan bekerja kerana terdapat percampuran lelaki dan wanita selain melabel umat Islam lain yang mengamalkan perkara itu sebagai ‘bida’ah’ serta terkeluar daripada Islam.

“Buku yang dirampas daripada suspek kebanyakannya ditulis oleh tokoh-tokoh Salafi Jihadi,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dibuat bagi membendung penyebaran ideologi Salafi Jihadi yang menjadi pemangkin kepada tindakan ganas kumpulan seperti Islamic 4 State, Al-Qaeda, Jemaah Islamiah, Kumpulan Abu Sayyaf, Boko Haram dan lain-lain.

Katanya, ini bukanlah kali pertama elemen Salafi Jihadi menggunakan Malaysia sebagai pangkalan menyebarkan ideologi dan merekrut anggota baru.

“Modus operandi sama pernah digunakan oleh Abdullah Sungkar serta Abu Bakar Bashir, pemimpin kumpulan pengganas Jemaah Islamiah yang memasuki Malaysia pada 1985 dan menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam di Negeri Sembilan dan Johor bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi dengan merekrut anggota baru untuk menyertai kumpulan pengganas berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 9:00am
d