utama

Chong Wei pulang [METROTV]

Oleh Fabian Peter

SUBANG: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di sini, malam ini selepas dua bulan menjalani rawatan di Taiwan.

Pemenang tiga pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik itu mendapatkan rawatan di Taiwan selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Difahamkan, jaguh negara itu meneruskan proses pemulihan di tanah air selepas rawatannya di Taiwan berjalan lancar.

Bintang negara itu begitupun mengelak untuk menemui pihak media selepas tiba dengan pesawat yang disewa khas pada 9.19 malam.

Sebelum itu, Chong Wei memberikan pesanan suara kepada Sukan NSTP yang memohon agar dia tidak diganggu supaya dapat berehat.

Chong Wei, yang tidak memberikan tempoh masa bila dia akan kembali ke gelanggang begitupun berjanji akan membuat sidang media tidak lama lagi.

Berita mengenai tahap kesihatan Chong Wei mula dihidu pihak media pada Julai lalu apabila dia menarik diri daripada beraksi di Kejuaraan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Indonesia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas itu, Chong Wei dikatakan menghadapi masalah berkaitan pernafasan sebelum badan induk itu membuat pengesahan pemain itu mengidap kanser hidung pada 22 September lalu.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 10:15pm
d