utama

Fikiran celaru [METROTV]

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Palu: Matanya suram merenung kosong jauh ke arah laut. Fikirannya masih celaru sambil sesekali menghela nafas berat.

Puas dia memikirkan bagaimana laut yang begitu tenang boleh memusnahkan seluruh kebahagiaannya sekeluarga.

Malah ribuan penduduk lain yang menetap di pesisir Pantai Talise turut senasib dengannya. Dia jadi makin kusut dan bingung.

Laut ketika itu muncul menggulung setinggi pokok kelapa sebelum merobek serta melenyapkan rumah didiami sejak puluhan tahun lalu pada petang 28 September lalu.

Mangsa, Rosman Hasarudin, 47,yang ditemui wartawan hanya mampu duduk lesu pada tangga batu di tapak peninggalan rumahnya.

Tangga itu satu-satunya bahagian rumah yang terselamat dan tidak dihanyutkan ombak tsunami.

“Hanya 30 saat, mungkin lebih pantas daripada itu. Ombak tsunami muncul ganas dan memecahkan dinding kayu rumah sebelum mencabut semua tiang dan bumbung.

“Ombak kedua lebih besar kemudian menyusul sebelum menyapu bersih seluruh isi rumah. Hanya tangga hadapan rumah ini yang tidak dihancurkan ombak,” katanya yang bekerja di kuari batu berhampiran.

Malah menurutnya, dua motosikal dan kereta miliknya turut lenyap dan tidak ditemui hingga kini.

Walaupun terselamat, dia bersama lapan ahli keluarga lain bingung memikirkan sampai bila harus terus menghuni tenda (khemah) ‘pelarian’ bencana.

“Ada yang ajak berpindah ke kabupaten (daerah) atau kota lain. Mulakan hidup baru di sana. Namun kami tiada uang (wang) dan saudara-mara lain.

“Kami masih menghuni tenda plastik di atas bukit. Tiada tandas dan air bersih. Malah malamnya gelap tanpa listrik (bekalan elektrik). Tidak tahu sampai bila, bingung memikirkannya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Winda Lantauba, 48, dan suami, Sudarman Majid, 52, hanya mampu mengumpul sisa periuk, sudu dan pinggan daripada tinggalan tapak rumah mereka yang musnah dihentam tsunami.

“Dulu wujud rumah besar kami di sini. Kedudukannya hanya kurang 100 meter dari gigi pantai Talise. Tapi kini hanya tinggal lantai simen dan kayu buruk.

“Kami hilang segalanya sekelip mata. Belum pasti jika pihak pemerintah (kerajaan) akan membantu untuk membina rumah kami semula,” katanya.

Mengimbau semula saat kejadian, dia memberitahu sempat menggendong dua cucunya, Afifah Idrus, dua tahun dan Lingar Idrus, lima tahun, sebelum lari ke arah bukit terletak hampir satu kilometer dari pantai.

“Saya masih ingat lagi ombak tsunami mengejar laju. Ramai mangsa yang terjatuh ketika berlari dan lenyap ditelan gelombang tsunami. Mereka mati begitu saja,” katanya.

Dia turut menitiskan air matanya sesekali mencium dua cucunya yang merintih haus serta lapar.

Sudarman memaklumkan tidak dapat ke laut lagi menangkap ikan apabila bot miliknya turut hanyut dan dipecahkan tsunami.

Wartawan yang membuat tinjauan sekitar perkampungan Talise, Timur Palu, kelmarin mendapati tinggalan kesan kemusnahan tsunami masih jelas kelihatan sepanjang hampir 10 kilometer.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 8:17am
d