utama

Tukar serta-merta

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kemelut yang melanda Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membabitkan dana berjumlah RM16 juta yang dibongkar akhbar ini bulan lalu hampir ke penghujung apabila ketua pengarah dan timbalannya ditukar berkuat kuasa, semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir dilantik sebagai pemangku ketua pengarah menggantikan Datuk Fauzi Ayob.

Pengumuman itu dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan ringkas.

Turut terbabit adalah jawatan Timbalan Ketua Pengarah FINAS yang kini dipangku Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKMM, Fairul Azida Shahabudin bagi menggantikan Datuk Azmir Saifudin Mutalib yang turut ditukar berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut ke mana atau apa jawatan baharu Fauzi dan Azmir.

Gobind sebelum ini memaklumkan FINAS memerlukan penstrukturan semula besar-besaran bagi memastikan kelancaran tadbir urus agensi itu.

Beliau dipetik sebagai berkata, perubahan dalaman itu penting terutama membabitkan proses penyaluran dana kerajaan.

“Saya lihat wujud banyak masalah dalam cara dana ini disalurkan dan ada keperluannya kita mengkaji semula seluruh proses saluran dana ini, jadi apa kita perlukan ialah reformasi lengkap dan menyusun semula prosedur di sini supaya kita boleh lihat dana disalurkan digunakan pada tahap maksimum.

“Saya faham ada banyak bakat baru yang mahu menceburi bidang perfileman dan mereka memerlukan bantuan, tetapi kita perlu sistem yang memastikan dana dikeluarkan itu digunakan untuk tujuan betul, tiada ketirisan dan bukan hanya pihak tertentu berkuasa menyalurkan dana,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi laporan eksklusif bersiri sejak 15 September lalu mendedahkan mengenai dana FINAS berjumlah RM16 juta dari 2013 hingga 2015 diberikan kepada beberapa syarikat produksi untuk menerbitkan tujuh filem dan satu animasi yang gagal disiapkan.

Lebih mengejutkan hasil siasatan mendapati dua individu memonopoli tujuh produksi yang menerima dana itu tetapi menggunakan nama syarikat berbeza.

Hasil laporan berkenaan, pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi reaksi akan melakukan siasatan isu itu yang turut menjadi buah mulut dalam kalangan penggiat industri.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 9:59am
d