utama

Malu teringat dosa rogol anak murid

Oleh Mohd Rafi Mamat

“SAYA menyesal dan malu setiap kali mengingati sejarah hitam berlaku 23 tahun lalu itu,” kata seorang banduan dikenali sebagai Kamal yang bakal dibebaskan Jumaat ini.

Bekas guru berusia 54 tahun itu kini dipenjara di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, di Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merogol seorang murid.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, nafsu yang menguasai dirinya menyebabkannya lupa dosa dan tanggungjawab sebagai seorang guru.

“Saya menyesal dan akur dengan hukuman dikenakan, kesakitan dirotan seolah-olah masih terasa walaupun sudah beberapa tahun menjalani hukuman berkenaan.

“Ia memberi keinsafan supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Saya tidak sabar menanti detik manis dibebaskan Jumaat ini, saya akan membuka lembaran baharu kehidupan bersama keluarga yang banyak memberi sokongan sepanjang berada dalam penjara,” katanya.

Seorang lagi banduan dikenali Daut, 45, berkata, dia menjalani hukuman penjara tiga tahun dan tujuh sebatan kerana kesalahan pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM850,000 lapan tahun lalu

Bercerita lanjut, ia atas kesalahannya meluluskan pembayaran pampasan insurans seorang pekerja kilang yang meninggal dunia disebabkan kemalangan.

Sedangkan, individu berkenaan tidak mempunyai polisi insurans.

“Saya menyesal... bukan sahaja dipenjara dan disebat malah kehilangan pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Saya kini insaf, saya akan memulakan kehidupan baharu bersama keluarga apabila dibebaskan pada Mac tahun depan,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Sehubungan itu, dia menasihatkan individu terbabit dalam pengurusan kewangan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah ‘gelap mata’.

“Ini kerana hukuman berat menanti,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 3:43pm
d