utama

Anak bunuh, kerat bapa 6 bahagian [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI warga emas dibunuh kejam oleh anak lelakinya dengan dikerat enam bahagian termasuk kepala dipenggal di Kampung Kanthan Baru, Ipoh, hari ini.

Mayat mangsa, You Su Kim, 74, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu dalam sebuah tangki kumbahan sedalam 1.5 meter serta lubang yang digali di belakang rumah mangsa.

Kejadian ngeri disedari awal anak perempuan mangsa pada 9 pagi hari ini selepas menemui beberapa kesan darah di tilam, bantal dan dinding rumah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan anak lelaki mangsa berusia 52 tahun pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, jiran memaklumkan ada mendengar pergaduhan antara mangsa dan anak lelakinya, malam tadi.

“Suspek yang ditahan kemudian menunjukkan senjata iaitu sebilah parang panjang berukuran 0.6 meter yang dipercayai digunakan untuk memotong tubuh mangsa.

“Senjata itu ditemui dalam bilik di rumah terbabit dan terdapat kesan darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Yahya berkata, suspek dipercayai bertindak kejam sedemikian selepas beberapa kali dimarahi bapanya kerana menghisap syabu dalam rumah dan suspek turut disyaki dalam keadaan khayal ketika membunuh dan mengerat tubuh badan mangsa.

Menurutnya, kedua-dua tangan dan kaki mangsa yang dikerat serta kepala yang dipenggal ditanam di dalam lubang digali suspek berhampiran pagar di belakang rumah, manakala bahagian badan mangsa pula dibuang ke dalam tangki kumbahan.

“Polis percaya mangsa dibunuh sekitar 12 tengah malam dan seorang daripada anak perempuan mangsa yang tinggal berhampiran mendakwa ada mendengar bapa serta abangnya bertengkar pada 8 malam.

“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, seorang anak perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yong berkata, dia ke rumah bapanya untuk memeriksa keadaan bapanya susulan bimbang dengan pertengkaran yang berlaku malam tadi.

“Sebaik masuk ke dalam bilik bapa saya lihat kesan darah pada tilam serta bantal dan curiga dengan keadaan itu, saya meminta bantuan jiran untuk mengesan bapa sebelum menemui kesan korekan tanah di bahagian belakang rumah.

“Bapa sakit tua dan lumpuh, manakala adik lelaki (suspek) ditugaskan menjaga bapa sejak beberapa tahun lalu dan mereka tinggal berdua sahaja di rumah berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 5:15pm
d