utama

Bantuan tiada batasan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

PALU: “Sekiranya mahu membantu manusia, hanya satu prinsip saya pegang iaitu tidak mengira apa batasan dan melangkaui sempadan agama, bangsa atau negara.”

Demikian luah Dr Naveenkumar Thanggaya, 31, antara empat doktor sukarela yang menyertai misi bantuan untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu anjuran Muslim Care Malaysia Society.

Menceritakan pengalamannya di Palu, beliau berkata, agak sukar sebenarnya untuk melakukan praktik rawatan di kawasan bencana itu.

“Ini kerana kami dimaklumkan kerajaan Indonesia baru saja melarang doktor luar berbuat demikian sebaliknya hanya membenarkan doktor tempatan ke lapangan.

“Namun dengan bantuan sukarelawan tempatan, saya bersama doktor Malaysia yang menyertai misi ini dapat memberikan khidmat rawatan.

“Tetapi bersyarat iaitu kami dibawa dengan pacuan empat roda ke tempat agak jauh kira-kira 30 kilometer dari Kota Palu ke Palu Utara yang belum sampai pertolongan,” katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Long Pasia, Beaufort, Sabah.

Menurutnya, dia bersama Dr Nurul Izwan Zainal, 30, dan Dr Maznah Abdul Majid, 35, berpuas hati dapat membantu mangsa bencana di Kampung Langaleso, Kecamatan Dolo, Palu dengan kemahiran perubatan yang mereka ada.

Dr Naveenkumar yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor berkata, dia tidak dapat menahan hiba apabila seorang pesakit wanita menangis apabila kampung itu dikunjungi bantuan.

“Pesakit wanita itu amat terharu sebab akhirnya ada doktor yang masuk ke kawasan itu,” katanya yang sanggup mengambil cuti lama untuk membantu penduduk Palu.

Dr Maznah dari Hospital Columbia Asia, Puchong, Selangor pula berkata, sebaik masuk ke kampung berkenaan, dia melihat banyak bendera putih dipacakkan di tanah.

“Saya kemudian diberitahu bendera putih itu untuk menanda lokasi mayat yang sudah atau belum diangkat bagi direkodkan pihak berkuasa.

“Memang sekitar kawasan masih kuat bau mayat. Apa pun saya rasa lega dapat merawat mangsa di sini biarpun terpaksa melalui beberapa kekangan.

“Sempat juga saya saksikan sendiri kemusnahan selain keajaiban melihat mata air terbentuk seperti aliran sungai kecil mengalir di rumah-rumah yang terjadi kesan gempa dan tsunami pada 28 September lalu. Sedangkan sebelum bencana, tiada mata air mengalir di situ,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan penduduk terpaksa keluar dari rumah mereka dan tinggal di khemah.

“Bekalan air bersih masih terputus. Penduduk tiada pilihan selain minum, mandi serta membasuh menggunakan air sungai.

“Jangkitan penyakit senang merebak sebab tiada air bersih sebaliknya mereka terpaksa menggunakan air yang mungkin mengandungi kuman susulan gempa dan gulungan lumpur walaupun di sini tidak terkena tsunami,” katanya.

Dr Nurul Izwan pula berkata, dia seronok dapat merawat mangsa gempa iaitu kanak-kanak di kampung itu.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 8:19am
d