utama

Apalah nak jadi...

Oleh Fardy Bungga

KOTA KINABALU: Seramai 11 anggota dan pegawai polis, termasuk seorang yang sudah bersara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan daripada pengedar dan penagih dadah sejak 2014 hingga Jun lalu.

Semua anggota dan pegawai terbabit ditahan jam 2 petang hingga jam 8 malam, kelmarin.

Lapan daripada mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud termasuk seorang yang sudah bersara, selain masing-masing seorang dari IPD Beluran, IPD Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Mahkamah Majistret, di sini, semalam, membenarkan semua mereka direman tujuh hari hingga 15 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 selepas permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin di depan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mohd Faliq ketika ditemui berkata, semua suspek dipercayai pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Kota Belud.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada anggota berpangkat koperal, lans koperal, sarjan dan inspektor. Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara tunai atau melalui transaksi bank secara harian, mingguan dan bulanan.

“Mereka dipercayai menerima suapan daripada orang awam sebagai dorongan untuk melindungi pesalah daripada diambil tindakan atas kesalahan menagih atau memiliki dadah,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 9:59am
d