utama

[UPDATE] Suspek kerat bapa direman [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI yang dipercayai melakukan pembunuhan kejam dengan mengerat enam anggota badan termasuk memenggal kepala bapanya di Kampung Kanthan Baru, di Ipoh, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Siti Salwa Ja’afar membenarkan tempoh reman sehingga 16 Oktober bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek berusia 52 tahun itu.

Siasatan terhadap suspek yang juga anak kandung mangsa itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Semalam Harian Metro melaporkan mayat, You Su Kim, 74, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu dalam tangki kumbahan sedalam 1.5 meter serta lubang yang digali di belakang rumah mangsa.

Difahamkan, kejadian ngeri itu disedari anak perempuan mangsa kira-kira 9 pagi selepas menemui beberapa kesan darah di tilam, bantal dan dinding rumah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dalam kenyataannya semalam berkata, susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan suspek selepas dimaklumkan oleh jiran yang mendengar pergaduhan antara mangsa dan anak lelakinya itu malam kelmarin.

Menurutnya, suspek yang ditahan kemudian menunjukkan senjata iaitu sebilah parang panjang berukuran 0.6 meter yang dipercayai digunakan untuk memotong tubuh mangsa.

Katanya, kedua tangan dan kaki mangsa yang dikerat serta kepala yang dipenggal ditanam di dalam lubang yang digali suspek berhampiran pagar di belakang rumah, manakala bahagian badan mangsa pula dibuang ke dalam tangki kumbahan.

Berita berkaitan

Anak bunuh, kerat bapa 6 bahagian [METROTV]

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 12:21pm
d