utama

Henry Golding terus cipta nama di Hollywood

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Malaysia yang sudah bertapak di Hollywood, Henry Golding berjaya memikat pengarah terkenal Guy Ritchie apabila diberi kepercayaan untuk membintangi filem terbaru arahanya berjudul Toff Guys.

Henry, 31, berkata, dia sangat teruja dengan tawaran terbaru itu dan mengakui memang pengikut setia karya pengarah hebat terbabit.

“Saya membesar dengan menonton filem Lock, Stock dan Snatch arahan Guy. Tidak sabar mahu bekerja dengannya,” katanya menerusi Instagram.

Filem berkenaan dijangka bakal memulakan penggambaran pada November ini di England. Selain Henry, filem itu turut dibintangi pelakon terkenal Hollywood iaitu Matthew McConaughey dan Kate Beckinsale.

Toff Guys mengisahkan mengenai jenayah pengedaran dadah yang berlaku dalam era moden di Eropah.

Terdahulu, pelakon dari Sarawak itu mencipta kejayaan besar menggalas watak Nick Young dalam filem Crazy Rich Asians.

Filem arahan Jon M Chu terbabit juga mencipta rekod baru sebagai filem romantik komedi paling laris dalam dekad ini.

Terbaru, Henry turut membintangi filem A Simple Favor bersama Blake Lively dan Anna Kendrick yang mula ditayangkan di Malaysia, hari ini.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 6:09pm
d