utama

[UPDATE] 'Haiwan pun tak akan buat begitu'

Oleh Murni Wan Omar

“HANYA kamu yang tahu apa sebenarnya berlaku. Haiwan pun tidak akan buat perbuatan kamu,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah ketika menjatuhkan hukuman terhadap ejen unit amanah atas kesalahan merogol, meliwat, melakukan sentuhan dan penganiyaan seksual terhadap anak kandungannya berusia 16 tahun.

Hakim Azman menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu yang mengaku bersalah atas 623 pertuduhan terbabit.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan tertuduh untuk mengurangkan hukuman yang sebelum ini dijatuhi oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, terhadap tertuduh.

Tertuduh merayu terhadap keputusan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya yang menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas semua pertuduhan.

Hukuman bagi rogol berjalan secara berasingan dengan pertuduhan yang lain.

Tertuduh merayu terhadap keputusan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya yang menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas semua pertuduhan.

Sebelum ini tertuduh dijatuhi hukuman penjara 28 tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan merogol, bagi pertuduhan meliwat, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan penganiayaan seks daripada 15 tahun kepada 10 tahun manakala bagi kes kesalahan sentuhan seksual daripada 20 tahun menjadi 10 tahun.

Dalam keputusannya, Hakim Azman berkata setiap hukuman kepada tertuduh mempunyai hukuman sebat bagaimanapun mengikut peraturan penjara, sebat hanya dibenarkan sebanyak 24 kali.

“Berhubung permohonan kamu mahu tuduhan dibacakan semula, mahkamah mendapati pertuduhan itu boleh difahami walaupun tiada peguam. Tidak menjadi kesalahan untuk kamu mengaku salah tanpa kehadiran peguam kerana ini bukan membabitkan hukuman mati.

“Pengakuan salah kamu sendiri mengelakkan anak kamu memberi keterangan dan ia akan mendedahkan apa sebenarnya berlaku seperti dalam setiap pertuduhan. Bertaubatlah. Jika kamu rasa kamu tidak buat , bergantunglah kepada kamu,” katanya.

Beliau berkata, hukuman yang dijatuhi hari ini hanyalah berdasarkan apa yang terkandung dalam undang-undang.

“Di hati kecil kamu, hanya kamu yang tahu apa sebenarnya berlaku. Hanya kamu yang tahu apa kecederaan yang berlaku pada anak itu.

“Ini satu perbuatan yang boleh saya katakan haiwan pun tidak akan buat perbuatan ini. Perbuatan ini hanya antara kamu dan Tuhan sahaja yang tahu,” katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Samin manakala tertuduh diwakili peguam Tiu Foo Woei dan N Rajesh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah merogol, meliwat dan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya.

Berita berkaitan:

623 pertuduhan rogol anak

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 6:59pm
d