utama

Salur duit ikut 'wahyu'

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: “Saya tahu memang banyak (filem ghaib), saya boleh anggarkan mencecah ratusan juta ringgit (diseleweng).

“Ada ramai ambil (dana) tetapi tidak buat filem, yang buat dokumentari pula sudah dapat bayaran, tetapi tidak siap dan inilah yang berlaku lebih 10 tahun lalu, namun FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) hanya pejam mata,” kata penerbit dan pengarah, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga bekas ahli lembaga pengarah FINAS tidak terkejut dengan bayangan diberikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, kelmarin, mengenai jumlah penyelewengan dana sebenarnya lebih banyak berbanding RM16 juta dilaporkan akhbar ini.

Beliau berkata, masalah yang berlaku berpunca daripada kelemahan pengurusan bahagian kewangan FINAS yang tidak sistematik dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Semua duit dana daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, kementerian dan pihak berkaitan diletakkan dalam satu akaun yang menyukarkan kita mengesan apa-apa (masalah atau penyelewengan).

“Jadi kena cungkil balik pembayaran dan akaun termasuk minit mesyuarat serta siapa yang luluskan.

“Memang bagus audit dalaman dibuat dalam FINAS sekarang, tetapi kedalaman masalah itu masih tidak dapat dilihat, sebab itu kita rasa menteri perlu adakan audit forensik akaun FINAS,” katanya.

Menurutnya, SOP baru perlu diperkenalkan supaya proses penyaluran dana lebih telus dan dirasai secara sama rata oleh semua penggiat filem yang mahu memajukan industri.

“Kita perlu rombak balik semua jawatankuasa dana, pitching centre dan panel penilai, barulah dana ini dapat disalurkan kepada orang yang memerlukan dan mengikut merit bukan lagi menggunakan talian hayat atau wahyu,”katanya.

“Perlu wujudkan satu jawatankuasa khas daripada orang berpengalaman dalam industri yang tiada kepentingan peribadi untuk membantu proses penjenamaan semula dan transformasi FINAS,” katanya.

Sementara itu, pengkritik dan pengarah filem animasi cereka pertama negara, Hassan Muthalib berkata, dia juga tidak terkejut dengan pendedahan terbaru menteri kerana menyedari perkara terbabit sudah berlaku sejak 15 tahun lalu.

“Bayangkan bajet setiap tahun yang diperoleh FINAS disalahgunakan sesetengah pihak sedangkan banyak filem berkualiti sepatutnya dapat dihasilkan daripada peruntukan yang besar itu.

“Saya juga berharap Ketua Pengarah FINAS bukan orang daripada kementerian (Kementerian Komunikasi dan Multimedia), tetapi mereka dalam industri seni yang mengetahui selok-belok serta mengenali setiap individu memohon dana FINAS,” katanya.

Harian Metro menerusi laporan eksklusif bersiri sejak 15 September lalu mendedahkan ketirisan dana FINAS berjumlah RM16 juta sejak 2013 hingga 2015.

Dana penerbitan berkenaan diberikan kepada beberapa syarikat produksi untuk menerbitkan tujuh filem dan satu animasi namun hingga kini karya berkenaan gagal disiapkan.

Lebih mengejutkan hasil siasatan mendapati dua individu memonopoli tujuh produksi yang menerima dana itu tetapi menggunakan nama syarikat berbeza.

Hasil pendedahan itu, pelbagai pihak meminta FINAS mengkaji semula proses penyaluran dana serta pada masa sama siasatan dalaman audit sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti dakwaan terbabit.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 9:00am
d