utama

[UPDATE] 'Hobi suami ragut nyawanya'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SEBELUM ini ibu mentua memang selalu minta suami jual payung terjunnya, tetapi dia tidak mahu jual kerana aktiviti itu sudah menjadi minatnya.”

Itu luahan Asiah Yahya, 32, isteri kepada ahli ‘paraglider’, Muhammad Khairunnaim Abdullah, 30, yang lemas selepas paramotornya terjatuh ke dalam Sungai Muda dekat Kota Kuala Muda, Sungai Petani, pagi hari ini.

Asiah berkata, suaminya keluar dari rumah mereka di Penaga, Pulau Pinang, kira-kira 7 pagi dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah masih menjalankan tanggungjawab sebagai suami seperti biasa.

“Macam biasa, pagi tadi sebelum arwah keluar dia ada beli kuih untuk saya dan anak-anak. Selepas itu dia terus keluar, cuma kakak ipar berasa hairan kerana arwah tidak menegurnya langsung ketika mereka terserempak pagi tadi.

“Menjadi kebiasaan setiap Sabtu dan Ahad arwah akan melakukan aktiviti riadah ini bersama rakannya, saya tidak sangka hobinya ini akan meragut nyawanya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Asiah berkata, suaminya yang bekerja sebagai jurugegas di Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang, terbabit dalam sukan itu sejak empat tahun lalu, dan menjadi ahli persatuan paramotor berdaftar yang berkelayakan.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Muhammad Khairunnaim lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila enjin paramotornya mengalami masalah ketika melakukan aktiviti itu di Dataran Dato Ali Yahaya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian dikenali sebagai Ahmad, 24, berkata, dia baharu sahaja melihat paramotor dipandu mangsa diterbangkan di kawasan berkenaan.

“Tak sampai lima minit, saya nampak payung terjun mangsa semakin merendah sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dia terkapai-kapai meminta pertolongan penduduk kampung.

“Saya dan beberapa penduduk termasuk nelayan yang ada di sungai ketika itu cuba membantu, namun arus sungai yang deras menyukarkan kami menyelamatkannya,” katanya.

Katanya, ketika mangsa berjaya dibawa naik ke darat, dia sudah tidak sedarkan diri dengan tali payung terjun dilihat terbelit di kakinya.

Berita berkaitan:

Enjin rosak, paraglider maut

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 1:59pm
d