utama

Majoriti mengagumkan - Anwar [METROTV]

Oleh Ifwan Tun Tuah

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai di luar jangkaan.

Beliau berkata, kemenangan dengan jumlah majoriti 23,560 cukup mengagumkan menandakan beliau mendapat mandat besar daripada warga Port Dickson termasuk kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Undi popular kali ini mencecah 75 peratus berbanding yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu sebanyak 48 peratus.

“Undi tentera yang dahulu tidak berpihak kepada kita, kini berubah dengan peningkatan sebanyak 122 peratus iaitu satu peningkatan yang besar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) PRK Port Dickson, malam ini.

Hadir sama, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, beliau dijangkakan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini.

Katanya, beliau sudah menghubungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menyatakan rasa bangga dengan kejayaan berkenaan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi mengatasi enam calon lain.

Beliau mendapat 31,016 undi, diikuti calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82).

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 337 undi, Lau Seck Yan (214), Kan Chee Yuen (154).

  • Lagi berita PRK Port Dickson
  • Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 10:28pm
    d