utama

Jadi rebutan pengarah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SUKAR untuk menafikan populariti yang dikecapi Syafiq Kyle di persada seni tanah air selepas lakonannya dalam drama bersiri Nur mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat.

Pemuda berusia 26 tahun itu kini menjadi rebutan pengarah yang mahu mengambilnya berlakon untuk produksi mereka.

Syafiq yang digilai peminat wanita menerusi karakter Ustaz Adam mengakui bersyukur dengan apa yang dikecapinya sekarang dan berjanji akan terus memberikan lakonan terbaik buat peminat.

“Alhamdulillah, jadual saya amat padat. Saya kini terbabit dengan penggambaran drama Senafas Rindu yang akan menemui penonton menerusi slot Megadrama pada Februari tahun depan.

“Selepas itu saya akan teruskan dengan penggambaran drama Bukan Cinta Aku untuk slot Akasia TV3 pula bersama Janna Nick arahan Erma Fatima.

“Insya-Allah hujung tahun ini saya akan kembali ke set penggambaran drama Nur 2 yang dinanti-nantikan peminat,” katanya.

Menurut Syafiq, dia akan kembali menjayakan karakter Ustaz Adam namun masih belum mengetahui jalan cerita yang lengkap.

“Skrip masih dalam pembikinan dan perbincangan masih berjalan di antara pengarah, penerbit serta semua yang terbabit.

“Kami terbuka memberikan padangan tetapi saya selesa serahkan 100 peratus kepada pengarah, abang Ijat (Shahrulezad Mohameddin) kerana percayakan sentuhan magisnya,” katanya.

Syafiq, dia yakin sutradara hebat itu kaya dengan idea segar untuk mengadun sesebuah cerita agar lebih menarik.

“Saya tahu dia akan keluarkan isu-isu yang menarik. Apabila skrip garapannya dijadikan sebuah drama, isunya pasti menarik.

“Saya tahu kekuatannya kerana sudah lama bekerjasama dengan dia. Penggambaran pula selalunya memakan masa sebulan setengah hingga dua bulan,” katanya.

Selain layar kaca, Syafiq juga sudah menambah profilnya sebagai bintang filem apabila membintangi filem Langsuir dan Gol & Gincu Vol 2.

Langsuir arahan Osman Ali yang menggandingkannya dengan Hannah Delisha berjaya mencatat kutipan memberangsangkan sekali gus menyuntik semangat Osman menghasilkan sekuelnya.

Syafiq bagaimanapun mengakui belum menerima sebarang pengesahan secara rasmi mengenai perkara itu.

“Saya tak tahu kerana dia belum menghubungi saya untuk maklumkan perkara ini. Mungkin ia hanya perancangan di peringkat produksi tapi saya belum diberi apa-apa maklumat.

“Jika sekiranya berlaku, saya akan tengok skrip dan jadual sebelum beri kata putus. Kalau bercakap soal skrip, saya jenis orang yang bersyukur kerana ini filem pertama saya.

“Daripada saya fikirkan apa yang ada dalam skrip dan kerja orang lain, ada baiknya saya fokus lakonan sendiri kerana saya belum puas dengan apa yang ditampilkan,” katanya.

Jelas Syafiq, dia menilai dirinya sendiri terlebih dulu dalam Langsuir sama ada bagus atau sebaliknya kerana tidak mahu mengecewakan peminat.

“Saya nampak banyak kekurangan dan ada banyak yang longgar.

“Saya harap persembahan dalam Gol & Gincu Vol 2 ada peningkatan dan lebih bagus.

“Untuk sekuel Langsuir, saya akan serahkan kepada produksi untuk aturkan semuanya. Saya tak nak ia bertembung dengan jadual yang sudah ada.

“Tahun depan saya akan terbabit dengan penggambaran filem aksi pula. Konsep ceritanya seakan filem Paskal dan saya kena menjalani latihan kira-kira dua bulan untuk mendapatkan stamina yang terbaik.

“Penerbitan filem di negara kita sekarang makin maju apabila produksi sediakan kemudahan ini.

“Kalau mereka tak sediakan latihan pun saya akan buat sendiri kerana saya yang duduk dalam ‘frame’ itu dan sekiranya tak cergas, akan nampak di mata penonton,” katanya.

Menurut Syafiq, dia belum menerima skrip penuh kerana proses merangka idea masih berjalan. Walaupun teruja, dia lebih senang meletakkan segala-galanya kepada ketentuan rezeki.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 3:45am
d