utama

'Sebenarnya mereka tidak diikat dengan tali'

Oleh KAFE AHADTRAGEDI BOMBA

KEMATIAN enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika bertarung menyelamatkan seorang remaja lemas di lombong Putra Perdana, Puchong memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Ia turut mengundang pertikaian netizen mengenai prosedur operasi standard (SOP) mencari dan menyelamat yang dikatakan tidak mengikut garis panduan selain kaedah ‘tidak kena cara’ yang memerlukan kajian semula.

Kafe Ahad minggu ini mendapatkan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM Datuk Amer Yusof yang tampil menjelaskan kepada wartawan SURAYA ROSLAN mengenai tragedi itu yang bukan disebabkan kegagalan pihaknya semata-mata, tetapi kejadian berlaku di luar kebiasaan akibat cuaca buruk dan faktor luar kawalan.

Boleh Datuk terangkan mengenai SOP dipraktikkan PPDA dalam situasi menyelamat membabitkan kes lemas yang menjadi pertikaian orang ramai?

Sama ada mereka (mangsa) mengikut SOP atau tidak, itu bergantung kepada hasil sia satan akan dijalankan Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan mereka ini daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang mempunyai kelayakan, sijil dan menjalani latihan ditetapkan untuk menjadi ahli PPDA. Mereka ini dibayar elaun berbeza dengan anggota bomba biasa dan menjadi pakar rujuk jika terjadi insiden di air.

Dalam tragedi itu, boleh terangkan SOP digunakan dan senario insiden?

Mereka bekerja mengikut SOP ditetapkan dalam menangani masalah penyelamatan di air yang mengguna pakai dua SOP.

SOP pertama disebut surface water rescue atau penyelamatan di permukaan air manakala kedua dive rescue atau penyelaman di air. Insiden ini dikendalikan seorang komander insiden (IC) yang berpengalaman dan berkelayakan dalam bidang penyelamatan di air.

Berdasarkan keterangan IC selepas kejadian, beliau membuat penilaian dan size-up (menyeluruh) dibuat sebelum IC memutuskan melakukan penyelamatan surface water rescue dan sweeping (pencarian dasar) kerana lokasi mempunyai kedalaman sekitar empat hingga lima kaki (paras dada) saja.

Selain itu, taktikal rantaian manusia dilakukan iaitu penyelamat berpegangan tangan antara satu sama lain dalam satu baris lurus bagi mengharungi air untuk melakukan pencarian dengan dibantu tali anchor dan tali tender di setiap hujungnya bagi faktor keselamatan anggota penyelamat. Kaedah ini paling sesuai kerana mempunyai mekanisma quick-release (melepaskan dengan pantas) yang membolehkan penyelamat melepaskan diri jika berlaku kecemasan.

Adakah enam mangsa memakai peralatan penyelamat sesuai ketika melakukan misi mencari remaja berkenaan?

Anggota penyelamat mengambil langkah keselamatan sebaiknya sepanjang melaksanakan operasi ini dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bersesuaian dengan tugas iaitu pakaian menyelam, kasut menyelam khas dan jaket keselamatan (personnel floating device).

Berdasarkan pengamatan awal, operasi ini dilakukan secara berhemah dengan penekanan prinsip berpasukan dan berlandaskan ruang lingkup SOP yang ditetapkan termasuk mengambil kira risiko dan bahaya persekitaran. Malah, difahamkan mereka memakai alat kelengkapan berkenaan ketika mahu bertolak ke lokasi kejadian.

Video tular yang menunjukkan detik terakhir enam anggota berkenaan lemas dirakam siapa dan seolah-olah menunjukkan tiada SOP dipatuhi?

Merujuk kepada video yang tular dalam media sosial dipercayai dirakam masyarakat awam yang berada di lokasi insiden.

Bagaimanapun, kami juga mempunyai rakaman rasmi yang diambil pegawai dan video itu akan diteliti Jawatankuasa Siasatan yang dilantik KPKT. Video itu semua akan dilihat secara menyeluruh bagi memastikan insiden ini tidak berulang lagi.

Masyarakat yang menilai video tular itu beranggapan bomba bekerja tidak mengikut SOP ditetapkan, tetapi ingin ditegaskan gerak kerja dan taktikal dipraktikkan jelas berlandaskan dua SOP bagi insiden penyelamatan di air iaitu Perintah Tetap Operasi Bilangan 2.4 - Mencari dan Menyelamat di Permukaan Air dan Perintah Tetap Operasi Bilangan 6.2 - Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Adakah benar penyelamat mengikat tali antara satu sama lain ketika kejadian?

Saya juga ada membaca tular yang mempersoalkan kenapa anggota bomba terbabit mengikat tali antara satu sama lain, sebenarnya mereka tidak diikat, ia disebut sebagai rantaian manusia iaitu saling berganding tangan supaya tak lepas satu sama lain bukan tali diikat pada badan mereka. Ini bagi mengekalkan kestabilan, apabila tali anchor dipasang pada boya dan ada pegawai yang menjaga dan memegang boya.

Berapakah jumlah anggota PPDA di seluruh negara?

Kita mempunyai 527 anggota PPDA seluruh negara membabitkan 47 pasukan.

Dalam kejadian tempoh hari, pasukan pertama yang tiba ke lokasi kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya. Apabila buat penilaian menyeluruh di lokasi kejadian mereka merumuskan tidak boleh membantu, jadi mereka minta bantuan PPDA Selangor turun iaitu daripada Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Secara peribadi bagaimana Datuk melihat tragedi ini?

Sebenarnya anggota ini bukan anggota biasa, mereka mempunyai pengalaman luas, mengikut statistik sebanyak 1,457 kerja penyelamatan mangsa lemas berjaya direkodkan bermula Oktober 2014 hingga September lalu.

Ini tragedi pertama dalam sejarah penyelamatan di air membabitkan anggota bomba yang terkorban. Apabila mendengar berita ini, kebetulan saya ada majlis jamuan makan malam bersama NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), saya dalam perjalanan pulang dan dihubungi Pengarah Bomba Selangor memaklumkan kejadian kemalangan di air di mana enam anggota saya meninggal dunia.

Saya terkejut dan seakan tidak percaya, segala-galanya menjadi persoalan dan tidak dapat gambarkan apa berlaku kerana peristiwa tragis dan besar dalam sejarah jabatan yang dianggap menyelamat orang menjadi mangsa lemas. Saya dapatkan maklumat semua dan terus ke lokasi kejadian. Setibanya di sana saya nampak enam badan terkujur dan lengkap berpakaian selam. Saya pergi ke tempat kejadian dan masa itu air bergelora gelombang besar dan kuat. Saya tidak kenal pegawai IC bertugas ketika itu dan merasakan tidak sesuai bertanyakan hal lanjut kerana faham pegawai mungkin dalam keadaan trauma dan sedih atas kehilangan anak buahnya.

Adakah kejadian itu membuka mata masyarakat mengenai pengorbanan bomba?

Timbul seribu persoalan dan sangat terkejut. Bagaimanapun kes ini membuka mata masyarakat mengenai tugas hakiki kami menyelamat orang lain. Waktu itu saya andaikan sekiranya anggota saya berjaya menyelamatkan mangsa mungkin orang ramai tidak ambil kisah mengenai tugas kami, tapi apabila berlaku semua (kes) ini orang nampak. Ia membuka mata masyarakat mengenai tugas dan tanggungjawab kami yang mencabar. Kami menempuhi pelbagai rintangan hingga lupa keselamatan diri sendiri dan selalu ke depan demi tugas menyelamat orang lain termasuk apabila berlaku kebakaran.

Elaun yang diterima PPDA hanyalah RM100 dan dianggap sangat kecil berbanding elaun diberikan Kementerian Dalam Negeri kepada detektif polis. Apa pendapat Datuk?

Ketika pembentangan Bajet 2006 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerajaan bersetuju pembayaran elaun insentif kepada pasukan penyelam JBPM sebagai usaha mengiktiraf dan penghargaan kepada pasukan ini yang berjasa kepada orang ramai.

Bayaran elaun secara bulanan diterima sekali dengan gaji hanya diterima PPDA, HAZMAT (Unit Bahan Berbahaya) dan ERMS (Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik). Walaupun kadar elaun dinikmati agak rendah, kami akan terus menyumbang tenaga dan komitmen. Kami juga akan mengkaji dan menilai kesesuaian kadar elaun penyelam selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk syor Jawatankuasa Siasatan kes tragedi baru-baru ini.

Menteri KPKT, Zuraida Kamarudin menyarankan JBPM mendapatkan pelan struktur sesebuah kawasan tragedi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum turun menyelamat mangsa lemas. Bagaimana JBPM melihatnya?

Ramai salah faham kenyataan itu. Sebenarnya bukan apabila terjadi kejadian baru kita mahu hubungi PBT untuk mendapatkan pelan struktur kawasan berkenaan. Idea dikemukakan Menteri adalah baik, pendekatan yang sesuai dilakukan JBPM di bawah Pra Rancang Insiden iaitu segala maklumat diperoleh termasuk pelan dari PBT seperti pelan empangan, pintu kunci air diambil sebagai sebahagian maklumat Pra Rancang Insiden.

Semua maklumat diperoleh akan didokumentasi dan ditempatkan di bilik kawalan balai dan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri sebagai rujukan khusus apabila berlaku kes. Maklumat ini akan diguna Insiden Komander yang memohon bantuan maklumat dari lokasi kepada pegawai petugas PGO. Ia sebagai latihan persediaan iaitu pendekatan dan kaedah pasukan penyelamat termasuk penyelam melakukan latihan, simulasi dan membiasakan diri menyelamat berdasarkan kawasan berisiko yang dikaji. Jadi saya harap salah faham orang ramai iaitu terima kecemasan baru telefon PBT minta pelan struktur itu tidak tepat, sebenarnya pelan berkenaan sudah disimpan di PGO kita.

Apabila kejadian lemas berlaku di kawasan PBT selepas waktu pejabat bagaimana JBPM mahu mendapatkan pelan struktur lokasi kejadian?

Seperti saya terangkan sebelum ini, jika PBT sudah tutup kita masih boleh mendapatkan pelan melalui mesyuarat penyelarasan dan perbincangan dengan PBT bagi memperoleh maklumat pelan struktur, selepas maklumat dikehendaki Pra Rancang Insiden akan dibuat termasuk melawat lokasi. Selepas itu, segala maklumat berkaitan akan disimpan di PGO atau Bilik Kawalan yang menjadi pusat maklumat untuk rujukan IC atau Komander Operasi. PGO ini beroperasi 24 jam dan dilengkapi sistem MERS 999 dan Rangkaian Radio Integrasi Kerajaan (GIRN) membolehkan PGO menyalurkan maklumat kepada Insiden Komander.

Adakah mangsa yang terkorban akan diberikan kenaikan pangkat, bagaimana kebajikan kepada waris dan juga kenyataan mufti mengatakan mereka dikategorikan syahid?

Jabatan sedang mempertimbangkan kenaikan pangkat kepada mereka terbabit (terkorban) sebagai mengenang jasa dengan mengurniakan pingat, kita dalam proses menguruskan perkara ini segera. Selain itu, kami sentiasa menjaga kebajikan waris mangsa dengan menyediakan faedah antaranya insurans kelompok takaful bagi pegawai bomba berjumlah RM43,000, Koperasi Bomba dan Penyelamat (ahli) RM83,000, Kesatuan Pekerja Bomba RM42,000, Persatuan Kebajikan Bomba RM3,000 dan juga Kumpulan Wang Kebajikan Bomba yang dibayar 36 kali gaji. Selain itu, anggota terbabit kejadian akan diberikan kaunseling untuk menangani trauma apabila melihat sendiri rakan terkapai-kapai pastinya rasa bersalah dan menyesal.

Saya bersetuju dengan pendapat mufti mengatakan mereka syahid kerana mereka ini melaksanakan tugas dengan hati bersih, tabah dan berniat murni bantu orang.

Akhir kata, sebagai antara pemimpin tertinggi bomba ada sebarang ucapan untuk netizen?

Saya minta masyarakat kalau boleh jangan buat pelbagai spekulasi, biarlah jawatankuasa ditubuhkan menyiasat dan nilai. Bagaimanapun kita tidak dapat tutup mulut orang nak kata apa, tetapi pihak jabatan rasa bertanggungjawab kes ini berlaku dan akan nilai balik SOP serta penambahbaikan.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 8:00am
d