utama

[UPDATE] Tanah runtuh: tiga maut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA pekerja kebun maut selepas rumah kongsi didiami mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla, Cameron Highlands, hari ini.

Tragedi itu mengorbankan dua wanita dan seorang lelaki termasuk suami isteri warga Myanmar berusia 23 dan 34 tahun yang dipercayai bekerja di kawasan kebun berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian 10.40 pagi.

“Polis terima maklumat melalui panggilan telefon daripada orang awam memberitahu tiga rakannya tertimbus akibat tanah runtuh di kampung berkenaan.

“Susulan itu pasukan polis bersama bomba pergi ke tempat kejadian bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis (tiga pegawai dan tujuh anggota) dan bomba (dua pegawai dan 16 anggota),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada 11.30 pagi apabila sampai di tempat kejadian didapati dua mangsa iaitu wanita warga Myanmar sudah berjaya dikeluarkan oleh rakan mangsa dan disahkan meninggal dunia.

“Manakala seorang lagi mangsa masih berada di dalam pondok yang tertimbus dan kerja menyelamat dijalankan polis, bomba dengan bantuan masyarakat setempat.

“Pada 1.20 tengah hari mangsa ketiga berjaya ditemui serta dikeluarkan dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang tidur di dalam pondok yang mana pondok itu didirikan di kawasan tidak sah iaitu di bawah cerun yang curam dan akibat daripada hujan lebat, berlaku tanah runtuh yang menimbus kediaman mangsa.

Ashari berkata, setakat ini hanya butiran ringkas sahaja mengenai identiti kesemua mangsa kerana dokumen pengenalan diri tidak ditemui dan polis sedang mengenalpasti identiti sebenar mangsa.

“Butiran ringkas identiti mangsa adalah Aung Thong, 23, bersama isterinya Naing Vai, 23, manakala seorang lagi wanita dikenali sebagai Mu Aye Aye, 34.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata, Cameron Highlands untuk dibedah siasat,” katanya.

Berita berkaitan

Dua dikhuatiri maut, seorang hilang dalam tanah runtuh

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 4:39pm
d