utama

Nak terjun jambatan sebab suami

Oleh Shamsul Munir Safini

TERTEKAN dengan sikap suami berhutang along dan curang dengan wanita lain, seorang wanita cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang, Prai, 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata wanita berusia 34 tahun berkenaan bersama empat anaknya menaiki kereta dari arah Prai ke Georgetown sebelum berhenti di Kilometer 1.0 jambatan itu.

Beliau berkata, sebaik tiba di situ, wanita berkenaan duduk di luar kereta berhampiran penghadang jalan manakala empat anaknya dibiarkan di dalam kereta.

“Orang awam yang curiga dengan aksi wanita berkenaan kemudian menghubungi bomba dan pihak berkuasa lain.

“Wanita berkenaan dipercayai berada dalam keadaan tekanan dan kurang waras,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa memujuk wanita berkenaan sebelum dia cuba melarikan diri.

“Wanita berkenaan cuba untuk melarikan diri dengan memandu keretanya namun berjaya dihalang.

“Suami wanita berkenaan yang berada di lokasi kejadian berjaya memujuk isterinya sebelum mereka dibawa ke balai polis berhampiran bersama empat anak mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 12:03pm
d