utama

Kekok tanpa suami

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS berumah tangga, penyanyi Indah Ruhaila mungkin dilihat kurang aktif dalam industri berbanding sebelum ini.

Hal ini diakui sendiri oleh penyanyi lagu ‘berhantu’ berjudul Percayalah itu.

“Selepas berkahwin, saya jarang muncul di kaca TV, radio dan akhbar tempatan. Namun, saya sebenarnya masih aktif menyanyi.

“Alhamdulillah, undangan untuk menjayakan persembahan pentas pun sentiasa saya terima. Cuma, mungkin ada yang menganggap saya tidak lagi aktif kerana jarang terima publisiti,” katanya.

Selepas bergelar isteri, penyanyi berusia 31 tahun ini lebih selesa ditemani suaminya, Ahmad Shariff, 37, sekiranya perlu muncul pada acara hiburan.

“Sejak berkahwin, saya selalu ditemani suami kerana rasa lebih selesa. Bagi saya, apabila dah bersuami, lebih baik dia temankan saya.

“Jadi, bila saya perlu pergi seorang diri contohnya kerana dia perlu bekerja, rasa kekok pula kerana kami selalu berdua,” katanya.

Ditanya sama ada suaminya menghalang atau memintanya supaya memperlahankan kerjaya seni, Indah menafikan perkara itu.

“Dia tidak pernah menghalang saya untuk menyanyi kerana dia tahu itu minat saya. Lagipun, saya sudah terbiasa bekerja dan cari duit sendiri sejak awal pembabitan dalam muzik.

“Ada juga dia bergurau dengan saya dengan berkata kenapa perlu bekerja sedangkan ada dia untuk menanggung kehidupan saya.

“Tapi, bagi saya dengan bekerja, ia meringankan beban rumah tangga kami dan saya pun boleh gunakan pendapatan untuk beli barang yang saya nak,” katanya.

Tanggal 24 Disember ini, sedar tak sedar usia rumah tangga mereka bakal mencecah setahun. Indah dan suami juga tidak terlepas ditanya perihal zuriat.

“Suami saya memang nak anak cepat. Kami tidak merancang tapi kalau lebih cepat lebih bagus,” katanya.

Terbaru, Indah merakamkan single keempatnya yang akan menjadi lagu OST drama bersiri Nur 2.

Lagu ciptaan Amylea Azizan dan Farok Roman itu diberi judul Pudar.

“Sebenarnya, saya dapat tawaran untuk menyanyikan lagu OST Nur sejak musim pertama. Namun, saya terpaksa tolak kerana pada waktu itu, ada hal yang tak dapat dielakkan.

“Jadi, ketika dihubungi oleh Amylea dan ditawarkan menyanyikan lagu Pudar, saya dengar lagunya dan terus jatuh hati,” katanya.

Bagi Indah, satu kelebihan buat karya bergenre balada untuk berkembang apabila ia dijadikan OST drama atau filem.

“Muzik yang ada hari ini adalah muzik urban. Jadi, penyanyi lagu balada perlu bersaing hebat dengan lagu urban.

“Harapan saya, apabila ia menjadi OST drama, lagu ini akan melekat di hati peminat dan sesuai dengan jalan cerita drama terbabit,” katanya.

Sebelum ini, lagu nyanyiannya berjudul Kau Yang Satu juga pernah menjadi lagu OST untuk filem dengan judul sama.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 6:32am
d