utama

Amelina hampir pengsan

Oleh Najiy Jefri

HARAPAN tinggi keluarga dan peminat yang mahu melihat penyanyi dangdut popular Amelina berjaya di pentas program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) turut memberi tekanan kepadanya.

Amelina, 44, berkata, situasi itu membuatkan dia hampir pengsan dan hilang suara beberapa hari sebelum konsert.

“Saya mengalami masalah kesihatan dan hilang suara secara tiba-tiba pada hari konsert, Ahad lalu.

“Saya akui tertekan dengan pertandingan ini terutama memikirkan orang sekeliling iaitu anak, keluarga dan pengurusan yang yakin saya mampu melakukannya.

“Namun, saya tidak menyalahkan mereka kerana harapan dan dorongan itulah yang membolehkan saya berada pada tahap hari ini,” katanya.

Menurut Amelina, dia bersyukur apabila kembali menduduki carta teratas mingguan.

Katanya, ketika membuat persembahan dia menggigil dan hampir pitam.

“Tiga minggu yang sangat mendebarkan bagi saya apabila perlu berusaha keras memberikan persembahan terbaik.

“Mujur, berkat bantuan rakan sekeliling yang tidak putus menghulurkan pertolongan dari pelbagai sudut, masalah itu dapat ditangani,” katanya.

Konsert itu juga menyaksikan juri tetap, Datuk Ramli MS memberikan ‘standing ovation’ kepada Amelina yang menyanyikan lagu Segalanya Pasti.

Ia juga ‘standing ovation’ pertama diberikan Ramli kepada peserta selepas lima musim menjadi juri tetap program itu.

Ramli ketika ditemui berkata, walaupun tidak sihat dan mempunyai masalah dengan suaranya, Amelina tetap memberikan sepenuh jiwa dan raganya ketika persembahan.

“Dalam keadaan tidak sihat, dia tetap menyanyikan lagu menggunakan ‘key’ asal. Cara nyanyiannya juga tidak sama dengan penyanyi asal. Walaupun sakit, dia tidak peduli dengan kesihatannya sebaliknya melawan dan memberikan persembahan memukau,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 5:06am
d