utama

Perlunya inisiatif sendiri

Oleh Ardini Sophia Sina

MEMBAWA gelaran mentor bukanlah tugas mudah. Ada getar debaran di dada Aizat Amdan sebaik bersetuju menggalas tanggungjawab sebagai pembimbing dua protege pilihannya.

Bakal memulakan persaingan di pentas Mentor 7 pada 28 Oktober ini, Aizat tidak meletakkan sebarang harapan untuk melihat protegenya bergelar pemenang. Namun, tidak bermakna Aizat ambil mudah tugasnya sebagai mentor.

Bagi Aizat, menang atau kalah tidak pernah menjamin kejayaan seseorang penyanyi. Paling penting adalah kesungguhan dan tidak pernah berputus asa demi mencapai cita-cita.

“Saya juga berasal daripada program realiti TV dan tidak menang pun. Namun, satu perkara yang saya lakukan adalah tidak berhenti mencuba dan terus mencari ruang bagi menempatkan diri dalam industri muzik.

“Saya tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada saya kerana pada akhir waktu, mereka sendirilah yang akan mencorakkan dan membentuk hala tuju dalam industri muzik tempatan.

“Tugas saya adalah membimbing mereka dan memberikan pendedahan mengenai muzik. Sudah pastilah saya juga akan berkongsi pengalaman sepanjang terbabit dengan pembikinan lagu dan nyanyian,” katanya.

Ramai anak muda yang menyertai pertandingan realiti sebagai landasan untuk mengejar impian bergelar penyanyi. Namun, tidak dinafikan mereka yang berjaya boleh dihitung dengan jari.

Melihat situasi itu, kata Aizat, peserta perlu menjadikan Black sebagai contoh terbaik. Dia memuji usaha penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu untuk kekal relevan dalam industri muzik.

Jika dinilai pada keadaan sekarang ini, semua orang inginkan sesuatu yang pantas. Begitu juga dengan nyanyian. Pendatang baru mesti ada ilmu dan cepat belajar.

“Sekarang ini zaman ‘instant’. Semuanya perlu pantas. Industri muzik dahulu dan sekarang berbeza. Oleh itu, pendekatan dan cara mengajar mereka juga tidak sama.

“Dulu ada masa untuk proses membesar tetapi sekarang ini, mereka yang masuk industri mesti sudah ada ‘skills’ dan sedikit pengetahuan mengenai muzik.

“Itu adalah inisiatif sendiri. Dalam program Mentor 7, kami sebagai mentor hanya mampu setakat tunjukkan jalan dan bentuk mereka menjadi penyanyi mengikut kehendak semasa pendengar muzik,” katanya.

Apabila bergelar mentor, sudah pastilah dia akan dianggap sebagai ‘guru’. Bagaimanapun, Aizat enggan dipandang sebegitu. Baginya, kehadirannya sebagai mentor adalah mengajar mereka kriteria menjadi penyanyi yang baik.

Bakal tampil dengan lagu baru tidak lama lagi, Aizat turut berkongsi perasaan teruja apabila berpeluang menyumbangkan lagu runut bunyi untuk filem Gol & Gincu Vol 2.

“Ketika filem pertama Gol & Gincu keluar, impaknya sangat besar. Wanita bermain futsal memang jadi satu fenomena.

“Saya memang minat dengan lagu Generasiku nyanyian OAG. Oleh itu, apabila pengarah minta sebuah lagu, saya pilih lagu yang ada bunyi pop rock dan sedikit akustik sesuai dengan tema filem Gol & Gincu,” katanya.

MAHU TURUN BERAT BADAN LAGI

Pada awal pembabitannya sebagai penyanyi, berat badan Aizat pernah mencecah lebih 100 kilogram (kg).

Melangkah keluar dari program realiti disertainya, penyanyi lagu Sungai Lui itu berjaya menurunkan berat badannya. Malah, sudah 10 tahun Aizat kekal dengan berat badan ideal.

Bagaimanapun, Aizat yang kelihatan sedikit ‘berisi’ sekali lagi mencabar diri untuk menurunkan berat badannya kepada 75kg.

Menurut Aizat, ia adalah sebagai salah satu pengisian di YouTube miliknya. Ia juga motivasi untuk individu lain yang ingin menjalani hidup lebih sihat.

“Dulu saya pernah kongsikan juga tip dan perjalanan saya sepanjang menurunkan berat badan. Kali ini saya lakukan sekali lagi untuk dikongsikan menerusi YouTube dan Instagram.

“Walaupun saya tidak ramai pengikut di laman sosial, sekurang-kurangnya mungkin perkongsian saya itu akan menjadi pembakar semangat kepada orang lain yang mahu lebih sihat,” katanya.

Katanya, cabaran menurunkan berat badan itu bermula pada konsert minggu pertama Mentor 7 berlangsung. Dia hanya akan menimbang beratnya pada hari terakhir konsert.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 6:15am
d