utama

'Kami tak diajar abaikan pelajaran'

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Atlet bola jaring negara, An Najwa Azizan menegaskan pelajar Sekolah Sukan Malaysia (SSM) tidak diajar untuk mengabaikan pelajaran semata-mata demi memberi fokus sepenuhnya kepada bidang sukan.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berkata tanggapan negatif yang menyifatkan pelajar SSM tiada masa untuk menumpukan fokus kepada pelajaran juga adalah tidak benar.

Dia bagaimanapun mengakui pelajar sekolah sukan perlu berusaha lebih sekali ganda berbanding penuntut sekolah biasa kerana perlu mengimbangi antara pelajaran dan sukan yang diceburi.

“Cuma mereka (pelajar) yang tak komited dengan apa yang dia buat saja bermasalah sebab kami di SSM diajar untuk fokus kedua-dua bidang (pelajaran dan sukan).

“Walaupun jadual harian kami padat kerana seawal jam 6.30 pagi sudah mula latihan sebelum sesi persekolahan dan petang pun berlatih lagi. Malam pula ada kelas untuk dapatkan semula pelajaran yang tertinggal.

“Tapi, ada juga pelajar yang abaikan kelas dan tak mengikuti program yang disediakan pihak sekolah. Saya tak setuju kalau orang kata sistem sekolah sukan itu menyebabkan pelajar gagal. 

“Kalau orang lain boleh dapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan, kenapa kita tidak boleh? Jadi, pokok pangkalnya terpulang pada diri sendiri,” katanya.

Sukan NSTP pada Isnin lalu melaporkan ramai ‘graduan’ sekolah sukan hilang arah tuju selepas tiada kesinambungan dalam bidang sukan yang diceburi.  

Selain itu, Najwa yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Komunikasi turut menjelaskan pihak sekolah sentiasa memantau pencapaian pelajar sama ada dari aspek akademik dan sukan.

“Ketika saya di bawah naungan Datuk Marina Chin (sebagai Pengetua SSBJ) pun, setiap kali ucapan beliau sentiasa menekankan supaya pelajar utamakan pelajaran.

“Malah, kalau saya tak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan seperti ditetapkan pihak sekolah, saya tak dibenarkan untuk menyertai perlawanan.

“Jadi, nak ke tak nak kami kena berusaha sebaik mungkin untuk mencapai keputusan yang dihadkan sekolah dalam akademik,” katanya.

 

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 10:00am
d