utama

[UPDATE] Ibu kelar anak direman

Oleh Suzianah Jiffar

IBU yang mengelar empat anaknya sehingga seorang daripada mereka maut semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, mengesahkan penahanan itu dan permohonan reman dilakukan di wad Hospital Queen Elizabeth (HQE) di mana suspek berusia 30 tahun itu menerima rawatan.

Mohd Zaidi berkata, suspek masih belum sedarkan diri akibat kecederaan kerana mengelar lehernya sendiri dan siasatan lanjut mendapati dia berkelakuan pelik sejak dua minggu lalu dan sering berhalusinasi seperti bercakap seorang diri.

“Suspek juga ada mengadu pada suaminya bahawa dia sering mendengar suara-suara bisikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 1.30 petang di bilik pekerja resort di Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam, anak suspek berusia lapan bulan, Jerry Yohanes maut akibat parah dengan kesan kelar di leher.

Abangnya, Jihan, 2, dan kakaknya, Melati, 5, kritikal, manakala seorang lagi kakaknya Nurul Hanisah, 7, parah dan masing-masing luka di leher akibat dikelar dengan semuanya dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.

Suspek yang turut parah selepas mengelar lehernya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Bayi maut, tiga anak parah dikelar ibu

'Isteri kata bilik ini ada syaitan'

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 3:26pm
d