utama

Donnie merendah diri

Oleh Ardini Sophia Sina

Kelebihan Donnie Yen menguasai seni mempertahankan diri membuka peluang besar buat dirinya untuk menceburi bidang lakonan selepas memulakan karier sebagai pelakon lagak ngeri.

Rezeki memihak kepadanya dan dengan pantas namanya mulai bersinar. 

Bakatnya membuatkan dia berjaya bergandingan dengan Jet Li menerusi filem Once Upon A Time In China II dan Iron Monkey.

Kejayaan demi kejayaan diraihnya. Popularitinya meningkat naik selepas membintangi filem Ip Man pada 2008. Hingga kini, Donnie terus cemerlang dalam setiap lakonannya.

Walaupun Donnie terkenal di seluruh dunia, dia sering mendapat pujian sebagai sebagai pelakon yang merendah diri. Malah, lelaki itu juga tidak pernah menganggap dirinya bagus.

“Saya tidak pernah puas dan selesa dengan kejayaan yang diraih. Saya lihat pelakon lain lebih baik daripada saya. Oleh itu, saya akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik dalam setiap karya.

“Setiap pelakon ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Malahan, mereka juga punya kejayaan yang mungkin tidak pernah saya kecapi. Buat apa mahu membangga diri sedangkan ada ramai lagi yang lebih berjaya dibandingkan saya,” katanya.

Tidak hanya berlakon, Donnie juga adalah seorang produser. Pada Ogos lalu, dia menerbitkan filem Big Brother serta memegang watak utama dalam karya berkenaan.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, kata Donnie dia memegang pelbagai watak termasuk melakonkan watak individu dalam hidup realiti.

Dia gemar berlakon dalam naskhah apabila karakter berkenaan kelihatan jahat tetapi sebenarnya melakukan sesuatu perkara itu untuk kebaikan.

“Saya banyak melakonkan pelbagai watak yang secara langsung menunjukkan sisi positif. Bagaimanapun, ketika melakonkan watak Bai Ho dalam Chasing The Dragon, saya lakukan pendekatan berbeza.

“Walaupun dia gengster, saya tetap suntik moral dalam dirinya. Dia lelaki yang mementingkan keluarga serta menjaga kebajikan pengikutnya.

“Sebagai pembikin filem dan keinginan untuk mengaut keuntungan, kita juga perlu sentiasa beringat untuk menyajikan perkara positif menerusi karya agar dapat dijadikan inspirasi buat penonton,” katanya.

Sebagai seorang produser, Donnie berhadapan dilema untuk menghasilkan filem memenuhi selera penonton di Hong Kong dan China serta seluruh dunia. 

Dia ingin karya yang dihasilkan sesuai dengan kehendak penonton di semua negara namun pada masa sama masih mengekalkan ciri-ciri dan budaya di Hong Kong.

“Sering bekerjasama dengan produksi China untuk hasilkan filem, memang dilema kerana setiap negara mempunyai selera tersendiri. 

“Kalau untuk memenuhi kehendak dua negara pun boleh pecah kepala, apatah lagi memenuhi kehendak penonton di seluruh dunia,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 7:00am
d