utama

Lokasi pertama durian kunyit

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

TANAH MERAH: Pulau Raya di sini, bukan hanya mempunyai 30 penduduk yang semuanya terdiri daripada masyarakat Tionghua tetapi ia juga memiliki satu lagi keistimewaan.

Pulau itu yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari bandar Tanah Merah, adalah juga lokasi pertama penanaman durian kunyit di Kelantan.

Pokok durian kunyit itu ditanam oleh warga China Chung Chun Seng pada 1790.

Menurut cicit Chun Seng, Chung Ting Bun, 70, moyangnya membawa benih pokok durian kunyit semasa beliau berhijrah ke Pulau Raya pada tahun itu.

“Moyang saya menanam pokok durian kunyit itu di satu kawasan lapang berdekatan rumahnya dan beberapa tahun kemudian, pokok itu membesar dan mengeluarkan hasil.

“Pokok itu boleh dikatakan pokok gergasi pada masa itu. Ia mati pada 1974 dan sehingga kini, saya mewarisi penanaman pokok itu,” katanya ketika ditemui di lokasi penanaman pokok durian kunyit itu.

Bapa kepada empat anak itu berkata, ramai orang tidak mengetahui lokasi penanaman pokok durian kunyit pertama adalah dari Kelantan dan apabila pokok itu ‘berpindah’ ke Gua Musang, ia dinamakan durian ‘Musang King’.

Katanya, dia dan isterinya Yap Mek Seek, 66, membuat satu tugu bagi menandakan lokasi pertama penanaman pokok durian kunyit itu di tempat asalnya di tanam.

“Tugu itu sebagai peringatan kepada anak, cucu dan cicit kami.

“Tetapi sejak 1980, ramai orang datang mengunjung untuk melihat tugu itu dan lokasi pertama penanaman pokok durian kunyit di negeri ini.

“Ia menjadi salah satu mini tarikan pelancong ke pulau kecil kami ini,” katanya yang mempunyai banyak kebun durian, dokong dan duku.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 9:31am
d