utama

42% Siswa simpati Daish

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KUALA LUMPUR: Lebih 42 peratus penuntut universiti awam (UA) bersimpati terhadap perjuangan Daish, malah lebih membimbangkan ada dalam kalangan mereka sanggup mendermakan wang dan menyertai perjuangan kumpulan militan itu.

Peratusan itu mewakili kira-kira 2,500 penuntut berbanding keseluruhan sampel kajian iaitu seramai 5,062 dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Peratusan itu diperoleh hasil kajian tujuh pengkaji tempatan diketuai oleh Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MYRISS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam.

Beliau berkata, kajian yang bertajuk Kajian Mengenai Ancaman Militan Daish Dalam Kalangan Pelajar UA di Malaysia itu dilaksanakan tahun lalu.

Dr Mohd Mizan yang sebelum ini dilantik sebagai Panel Pakar Rehabilitasi dan Deradikalisasi Pusat Kajian Jenayah Rentas Sempadan (UNICRI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat bahawa data kajian itu memberikan gambaran jelas bahawa ramai dalam kalangan penuntut melihat perjuangan Daish sebagai betul dan mengikut ajaran Islam sebenar.

“Tujuan kajian ini dilaksanakan untuk meramalkan situasi semasa ancaman radikal membabitkan penuntut.

“Hasil daripada soal selidik yang dijalankan, kedapatan yang diperoleh agak mengejutkan apabila lebih 42 peratus bersetuju dengan pandangan bahawa perjuangan Daish adalah benar dan kumpulan radikal itu tidak memberi imej buruk kepada Islam.

“Kita juga dapat memberi gambaran tepat bahawa medium laman sosial menjadi platform propaganda utama Daish apabila lebih 3,000 responden menyatakan bahawa mereka mengetahui berkenaan kumpulan radikal itu menerusi laman sosial serta media elektronik,” katanya.

Beliau bekata, demikian menerusi wawancara khas di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), di sini, semalam.Menerusi kajian itu, beliau berkata, soal selidik dibahagikan kepada 10 tajuk penting antaranya persoalan berhubung mengagumi perjuangan Daish, bersedia untuk menyertai kumpulan itu, ingin berhijrah ke Syria dan Iraq termasuk tindakan kumpulan itu tidak memberi imej buruk kepada Islam.

Katanya, data yang diperoleh memberikan satu kesimpulan bahawa penuntut ini tidak mendapat maklumat sebenar berkaitan keganasan Daish, malah mereka lebih gemar untuk mempercayai dakyah kumpulan militan itu yang disebar di media sosial.

“Saya boleh umpamakan ia bagai bom jangka jika kita tidak berbuat apa-apa sekarang. Angka lebih 2,500 pelajar yang bersimpati terhadap perjuangan Daish itu adalah satu jumlah yang sangat besar.

“Pihak pengurusan UA juga perlu lebih proaktif dalam mendepani masalah ini kerana kita tidak mahu lebih ramai pelajar yang terpengaruh dengan dakyah serta propaganda Daish,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 9:49am
d