utama

'Air paip bebas E-Coli' - SPAN

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan sistem bekalan air di negara ini bukan saja bersih dan selamat diminum secara terus, malah bebas bakteria E-Coli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata, sehubungan itu pihaknya menyokong penuh kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berhubung perkara itu semasa Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, air terawat dibekalkan kepada orang ramai di Malaysia adalah mematuhi standard kualiti minimum yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan kepada Garis Panduan Kualiti Air yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagi memastikan kualiti air sentiasa selamat dan terjamin, tindakan pemantauan dijalankan secara berterusan oleh semua pihak terbabit iaitu operator air, KKM dan SPAN.

“Bahkan, di peringkat rawatan air di loji-loji, operator air sentiasa memastikan proses rawatan yang berkesan dan menganalisa parameter fizikal, kimia dan mikrobiologi kualiti air secara berterusan supaya mematuhi standard,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama kata Mohd Ridhuan, sebagai pihak berkuasa kesihatan di negara ini, KKM memperkenalkan Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum (PKKMAM) sejak 1983 untuk memantau kualiti air yang dibekalkan oleh operator air.

Menurutnya, menerusi program itu, KKM akan mengambil sampel di loji dan sistem agihan secara berterusan dengan kekerapan mengikut jenis parameter yang diuji.

“Tidak kurang 38 jenis parameter fizikal, kimia dan mikrobiologi dianalisa bermula dari muka sauk loji rawatan air hingga ke sistem agihan dengan kerjasama dari Jabatan Kimia Malaysia.

“Selain itu, terdapat 6,108 stesen persampelan yang terdapat di semua 500 loji rawatan air serta sistem agihan di seluruh negara dengan jumlah sampel melebihi 186,000.

“Bagi SPAN pula, sebagai badan kawal selia teknikal industri perkhidmatan air, kita turut menjalankan audit berkala di semua loji rawatan air bagi memastikan rawatan dijalankan secara efektif dan bekerjasama dengan KKM bagi memantau kualiti air yang dirawat dan diagih mematuhi standard,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan beberapa kenyataan akhbar yang mendakwa bahawa air paip mengandungi E-Coli yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Katanya, ini kerana E-Coli antara parameter mikrobiologi yang dianalisa secara berterusan oleh operator air serta KKM menerusi PKKMAM dan terbukti air dalam sistem bekalan air awam adalah bebas daripadanya.

“Untuk makluman, pengklorinan adalah satu proses paling efektif dalam rawatan air bagi membunuh segala bakteria yang ada.

“Di akhir rawatan dan sebelum air diagihkan, operator air dikehendaki untuk memastikan terdapat baki klorin bebas sekurang-kurangnya 0.2 mg/l (milligrams per liter) di dalam air terawat untuk membunuh bakteria E-Coli yang berkemungkinan wujud sekiranya terdapat pencemaran di dalam sistem agihan.

“Kandungan baki klorin ini diibaratkan seperti perisai bagi memastikan bekalan air sentiasa selamat kepada orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 12:48pm
d