utama

Tony syukur masih diterima

Oleh Ramlah Zainal

Usah diungkit lagi kontroversi yang pernah melanda dirinya dua tahun lalu.

Bagi pelakon yang menempa nama menerusi filem Sepi, Tony Eusoff, kesalahan memiliki dadah hingga dipenjarakan di Singapura banyak memberi pengajaran kepadanya untuk menempuh hari mendatang.

Dua tahun menyepi, Tony mengakui tidak pernah berhenti mencintai bidang lakonan yang sudah sebati dengannya sejak dulu.

Menurut pemilik nama sebenar Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 41, dia bersyukur kerana penerbit dan pengarah drama serta filem masih memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan kerjaya lakonan.

“Saya sangat bersyukur kerana masih diterima selepas apa yang berlaku sekali gus tidak akan mensia-siakan peluang diberikan.

“Saya bermula pada usia lewat iaitu 37 tahun dan mahu terus berlakon selagi nyawa dikandung badan,” katanya.

Mengenai watak pula, kata Tony, dia bertuah kerana sering ditawarkan karakter yang meninggalkan impak besar kepada penonton.

“Saya juga tidak kisah ditawarkan watak bapa dalam drama kerana sudah melakonkan watak itu ketika mula-mula berlakon.

“Tidak salah jika pelakon berusia 40-an bawa watak dalam cerita aksi seperti Tom Cruise di layar filem kerana saya berasa tenaga seperti berusia 27 dan 28 tahun saja.

“Namun, pada usia sekarang macam tidak kena pula kalau saya bawa watak pelajar kolej dalam drama mahu pun filem,” katanya.

Tony ditemui pada malam gala tayangan filem Orang Itu (Jade Ribbon Campaign) yang berlangsung di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Tony juga baru selesai penggambaran siri Jibril yang diterajui Aeril Zafrel dan Lisa Surihani untuk saluran ntv7 dan platform Viu.

Tidak ketinggalan, siri lapan episod drama web, Projek Dapat Baby yang menampilkan barisan pelakon Rita Rudaini, Azhar Sulaiman, Louisa Chong, Aida Khaleeda dan Fikry Ibrahim dan disiarkan di YouTube pada 30 Julai lalu.

Selesa membujang

Menyentuh sisi peribadinya, Tony yang pernah putus cinta mengakui selesa hidup membujang serta tidak mahu terlalu memikirkan soal perkahwinan.

Menurutnya, walaupun tanpa isteri di sisi, dia tetap melalui kehidupan dengan gembira.

“Saya sangat selesa hidup bujang kerana tidak perlu berdepan dengan tekanan yang dilalui pasangan yang berkahwin.

“Sebenarnya, mereka yang berkahwin berdepan tekanan lebih besar seperti bertengkar dengan isteri, anak sakit dan sebagainya.

“Perkahwinan bukan matlamat utama saya sekarang kerana mahu fokus pada karier dan menjaga emak yang sudah tua,” katanya.

Tony bertuah kerana ibunya sangat memahami dan tidak pernah mendesaknya untuk segera mendirikan rumah tangga.

“Emak tidak pernah beri tekanan soal perkahwinan kerana dia sangat memahami anaknya.

“Sekiranya ada jodoh pasti saya tidak akan tolak apabila sampai masanya nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tony menceburi bisnes makanan sejak lebih setahun lalu.

“Saya menjual sosej di premis di Taman Tun Dr Ismail dan sambutan pelanggan sangat menggalakkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 6:00am
d