utama

Rayuan seorang ibu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hancur luluh hati ibu apabila anak yang menjadi tulang belakang dan harapan keluarga kini sudah tiada selepas terbabit kemalangan jalan raya dipercayai mangsa langgar lari di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan, Rabu lalu.

Lebih memilukan, pada hari kejadian, Wan Hasmiza Wan Ismail, 40, hanya sempat melihat Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19, sebelum ke tempat kerjanya di medan selera sebuah pasar raya di Kelana Jaya, Selangor, sebagai pembancuh air, sebelum menerima khabar duka anak sulungnya sudah tiada.

Nor Hafiz Hafizan menjadi harapan keluarga sejak ibunya berhenti kerja Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua, sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas dan tidak boleh melakukan kerja berat.

Menurut Wan Hasmiza, Nor Hafiz Hafizan yang juga pelajar semester empat Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menggalas tanggungjawab mencari pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan keluarga dan pengajiannya.

Kata Wan Hasmiza, suaminya, Raja Nor Azuan Raja Mamat, 45, hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Dia seorang anak yang baik dan pemalu serta sentiasa membantu menguruskan kerja rumah malah sanggup bekerja sambilan kerana tidak mahu menyusahkan saya.

“Pada hari kejadian, saya hanya sempat melihat kelibatnya mengambil wuduk untuk solat Asar sebelum dia ke tempat kerja yang terletak 10 kilometer dari rumah,” katanya yang menetap di Apartmen Mentari Court, Kelana Jaya, Selangor.

Ibu empat anak itu berkata, arwah tidak pernah merungut terpaksa bekerja sambilan malah sentiasa berjanji mahu menjaga keluarga dengan mencari pekerjaan lebih baik apabila tamat belajar nanti.

“Masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir arwah kepada saya apabila dia sentiasa memberi semangat dan dorongan supaya kuat melawan kanser seterusnya tidak perlu risau mengenai perkara lain.

“Jika diikutkan saya terfikir kenapalah dia pergi dulu sebelum saya kerana arwah masih muda dan sangat baik kepada keluarga serta rakan.

“Lebih terkilan lagi apabila dia pergi dalam keadaan dipercayai dilanggar lari kenderaan lain pada hari kejadian ketika mahu pulang ke rumah,” katanya.

Berikutan itu, Wan Hasmiza merayu orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan seterusnya merungkai persoalan berkaitan kemalangan terbabit.

“Saya mahu kejadian yang menimpa arwah mendapat pembelaan sewajarnya dengan mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab, namun hingga kini tiada pihak tampil memberikan kerjasama.

“Pemergian arwah sememangnya dirasai lebih-lebih lagi kepada anak bongsu kerana dia rapat dengan Nor Hafiz Hafizan, namun kami sekeluarga reda dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 9:01am
d