utama

Harap doa penentu nyawa

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PORT DICKSON: “Kami tahu tugas ini banyak risiko dan hanya kalimah Bismillah menjadi kekuatan,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar yang berkongsi pengalamannya sebagai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Beliau yang juga pegawai pengurusan PPDA negeri berkata, pasukannya menyertai banyak operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pantai serta sungai di negeri ini sejak 2016.

Katanya, sepanjang bertugas, pengalaman tidak dapat dilupakan adalah mencari tiga remaja lelaki lemas di Sungai Pedas, Rembau, awal Januari lalu selain seorang anggota tentera lemas di Sungai Linggi Disember tahun lalu.

“Dalam misi SAR, kami akan berpuas hati jika menemui semula mangsa namun hati kami tersentuh setiap kali terdengar rintihan ahli keluarga,” katanya yang sembilan tahun bergelar anggota bomba.

Menurut Mohd Kamal, sebelum menjalankan aktiviti menyelam, semua anggotanya diwajibkan membaca doa dan mengingati Allah.

“Sebagai pasukan penyelamat, risiko sentiasa menanti anggota. Oleh itu kami berserah kepada Allah dan berpesan pada keluarga mengenai tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Jelas Mohd Kamal, antara risiko dihadapi ketika menyelam adalah anggota terdedah kepada keadaan penyakit nyah tekanan (DCS) dan gegendang telinga pecah.

“Paling mustahak anggota mempertaruhkan nyawa setiap kali turun ke laut, sungai dan lombong. Seperti mana berlaku terhadap enam anggota bomba di Puchong, kami menitikberatkan aspek keselamatan iaitu jangan terbelit tali ketika mencari mangsa,” katanya.

Katanya lagi, anggota terdedah hentakan kepala pada batu sungai selain dikhuatiri terkena penyakit kencing tikus serta patukan ular.

“Menjadi anggota PPDA memerlukan tahap kesabaran dan ketahanan yang tinggi. Setiap kali mayat dibawa naik daripada sungai, perasaan hiba dan sedih menyelubungi diri,” katanya.

Menurutnya lagi, pengalaman yang manis buat dirinya adalah menerima penghargaan daripada ahli keluarga apabila mayat mangsa lemas ditemui.

“Ucapan terima kasih sudah memadai buat kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 7:44am
d