utama

Dua polis maut kemalangan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUA anggota polis Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, Maran, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Anak Edin, 23, dikatakan dalam perjalanan dari arah Bentong Ke Kuantan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua anggota polis berkenaan dalam perjalanan mengiringi kenderaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang yang membawa kertas perperiksaan sebelum terbabit nahas.

“Ketika kejadian hujan lebat dan kereta dipandu anggota polis terbabit dikatakan melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang sebelah kiri jalan.

“Dua mangsa terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di Maran, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan dinaiki mereka melanggar lopak air sebelum hilang kawalan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.05 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, beliau berkata, pihaknya mendapati seorang anggota polis tercampak keluar manakala seorang lagi masih berada dalam kenderaan.

“Anggota bomba mengeluarkan seorang polis yang tersepit di dalam kenderaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 6:31pm
d