utama

Kata-kata rakan ilham Awi

Oleh Norhayati Nordin

SELAIN menyanyi, Awi Rafael juga berbakat besar dalam penciptaan lagu.

Bukan sekadar mencipta lagu nyanyian sendiri tetapi komposer muda ini juga banyak menyumbang karyanya buat penyanyi lain.

Menariknya, kini Awi muncul dengan single terbaru berjudul Ini Semua Dunia.

Berbicara mengenai single itu, Awi berkata ilham diperolehnya daripada segelintir rakan yang sering melontar ayat ‘ini semua dunia’.

“Saya menulis lagu ini tahun lalu dan liriknya penuh dengan kata-kata positif untuk kita fikir mengenai kehidupan.

“Harus diakui, selagi kita hidup apa saja dugaan dihadapi adalah cabaran yang perlu difikir dengan sebaik-baiknya.

“Bagaimanapun, pada masa sama kita seharusnya sentiasa bersyukur kerana kehidupan di Malaysia ini masih bagus lagi,” kata.

Awi yang sudah lapan tahun berkelana ke negara ini dari Singapura untuk mengetengahkan bakat seninya berkata dia lebih selesa menghasilkan lagu untuk diri sendiri.

“Disebabkan kebanyakan lagu saya dan liriknya menjurus mesej mengingatkan diri, ia cukup mematangkan.

“Secara tidak langsung, ia juga menggambarkan saya semakin matang seiring pengalaman ditimba selama ini,” katanya.

Terbuka berkongsi perancangan untuk karier nyanyiannya, Awi berkata dia kini dalam proses menyiapkan album digital.

Menurut penyanyi lagu Manusia Sempurna bersama Ayai Ilusi ini, dia sudah pun menyiapkan enam lagu untuk dimuatkan dalam album itu.

“Namun, segala perancangan untuk album digital ini saya buat dengan teliti. Pemilihan lagu pun saya tidak ambil mudah.

“Ini kerana saya mahu pendengar juga merasai kepuasan karya lagu diketengahkan dalam album itu. Jadi, saya agak berhati-hati,” katanya.

Melihatkan dirinya yang agak berisi, Awi tidak menafikan perkara itu dan memberitahu dia dalam usaha menjaga pemakanan.

“Berat saya sekarang 81 kilogram dan memandangkan beberapa bulan lagi akan naik pelamin, saya mahu turunkan berat.

“Sekurang-kurangnya, dapat 76 kilogram pun okey kerana ia ideal dengan ketinggian saya. Bagaimanapun, saya kini masih berusaha,” katanya.

Awi bakal menamatkan zaman solonya dengan wanita pilihan yang juga pelakon Atikah Suhaimi, 27, pada 17 Mac 2019.

Awi juga memberitahu dia sudah menyiapkan satu lagu istimewa buat bakal isterinya itu yang berjudul Rahasiaku.

Tanpa menguar-uarkan percintaannya, Awi selamat bertunang dengan Atikah pada 17 Mac lalu di Singapura.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael memberitahu majlis pernikahan dan acara resepsi kedua-dua belah pihak akan berlangsung di negara kelahiran mereka.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 5:00am
d