utama

Tidak hadkan stesen TV

Oleh Najiy Jefri

KEHADIRAN pelawak dan pelakon Fikry Ibrahim dalam industri seni lakonan nampaknya semakin membuahkan hasil lumayan.

Apa tidaknya, sebaik jejaka kelahiran Kedah ini melangkah masuk ke dalam industri hiburan peluangnya untuk melebarkan sayap terbuka luas terutama dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Biarpun baru setahun jagung, kepercayaan yang diberikan stesen televisyen dan syarikat produksi sememangnya mengubah jalan hidup jejaka tinggi lampai ini.

Namun begitu, kehadiran Fikry dalam dunia lakonan dikatakan hanya tertumpu kepada satu stesen televisyen semata-mata hingga membuatkannya sukar mendaki puncak kejayaan.

Bagaimanapun, Fikry berkata, dia tidak pernah mengehadkan kerjaya lakonannya kepada satu stesen televisyen semata-mata sebaliknya membuka ruang terbabit kepada semua.

“Saya akui kalau hanya tumpu kepada satu stesen televisyen saja, susah untuk pergi jauh. Namun, jika saya muncul di banyak stesen TV berulang kali, bimbang orang jemu pula.

“Sebenarnya saya ada dapat beberapa peluang daripada stesen televisyen lain tapi pasangan saya dalam naskhah terbabit kurang sesuai.

“Bagaimanapun, saya sangat suka sekiranya dapat lebarkan karier di semua stesen TV tetapi ia perlu disusun dengan baik agar momentum kerjaya seni saya konsisten,” katanya.

Ditanya mengenai peluang menjayakan pelbagai karakter, Fikir bersyukur kerana banyak pihak nampak kemampuannya.

“Alhamdulillah saya diberikan karakter yang berbeza berbanding awal kerjaya seni lakonan.

“Dalam setiap drama dibawakan saya cuba tambah elemen komedi yang berbeza supaya penonton tidak bosan tapi masih mengikut kehendak kepada skrip dan jalan cerita.

“Bagi saya, tawaran karakter yang pelbagai ini sesuatu yang positif buat karier saya. Kalau hanya tumpu genre komedi saja pun susah juga untuk berkembang.

“Tawaran yang diberikan ini sedikit sebanyak membuka mata khalayak bahawa saya boleh bawa apa saja watak.

“Saya juga berterima kasih kepada syarikat produksi kerana buka peluang untuk mencuba sesuatu yang baru,” katanya.

Tepis godaan

Menyentuh mengenai godaan wanita selepas bergelar selebriti, Fikry mengakui ia asam garam yang perlu ditempuhinya.

Bagaimanapun, dia selalu mengingatkan diri supaya tidak hanyut dan terus berpegang teguh pada niat utama memasuki bidang seni.

“Ia terpulang kepada diri individu itu sendiri untuk melawan setiap godaan dan ujian yang datang.

“Bagi saya, sebagai anak seni kita perlu teguhkan pendirian dan jangan sesekali terbuai dengan populariti yang diraih.

“Alhamdulillah, saya sentiasa dikelilingi rakan yang positif dan selalu mengingatkan supaya berhati-hati dalam berkawan.

“Saya juga perlu menjaga maruah dan nama baik keluarga kerana sebab utama saya masuk dalam bidang seni ini adalah untuk menjadikan ia sebagai platform terbaik menjenamakan diri,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 6:00am
d