utama

Arah bunuh melalui Skype

Oleh Agensi

ISTANBUL: Seorang pegawai khas kepada keluarga diraja Arab Saudi, Saud Al-Qahtani didakwa menjadi perancang utama pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di bangunan konsulat Arab Saudi di Turki dengan arahan terbabit dibuat melalui panggilan video Skype.

Saud yang menguruskan akaun media sosial Putera Mahkota Mohammed bin Salman dikenali sebagai watak utama yang mengarahkan penahanan beratus-ratus golongan elit negara itu dan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri.

Mail Online yang memetik dua sumber perisikan memberitahu, Saud merancang pembunuhan kejam wartawan Arab Saudi itu di bangunan konsulat di Istanbul dengan memberi arahan melalui Skype.

Kolumnis Wall Street Jurnal yang sering mengkritik Arab Saudi dan keluarga dirajanya terus ditahan 15 ejen perisikan negara itu apabila masuk ke bangunan berkenaan kira-kira jam 1 petang pada 2 Oktober lalu untuk mengambil dokumen untuk membolehkan dia berkahwin.

Portal berita Yeni Safak melaporkan, Mohammed turut bercakap melalui telefon dengan Jamal yang ditangkap di bangunan itu bagi memujuknya pulang ke Arab Saudi tetapi mangsa enggan kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Satu sumber Arab Saudi yang ada kaitan dengan perisikan dan kerabat diraja Arab Saudi memberitahu, Saud menyaksikan pembunuhan Jamal melalui Skype yang berlaku dalam sebuah bilik di bangunan berkenaan.

Saud dilaporkan memaki hamun dan memarahi Jamal, 59, yang dibalas mangsa dengan makian.

Perisikan Turki mendakwa, Saud memberi arahan untuk melupuskan mayat Jamal dengan berkata: “Bawa saya kepala anjing itu.”

Jamal didakwa diseksa dengan jarinya dipotong satu persatu sebelum dia dibunuh dan mayatnya dilupuskan.

Stesen televisyen Turki pula menyiarkan rakaman beberapa pegawai Arab Saudi membakar dokumen dipercayai berkaitan dengan pembunuhan Jamal di dalam tong di taman konsulat itu, sehari selepas Jamal dibunuh.

Pengguna Twitter membuat spekulasi bahawa video itu dirakam oleh dron pengintip Turki tetapi pihak berkuasa enggan mengulas mengenai rakaman berkenaan.

Disiarkan pada: October 24, 2018 @ 6:30am
d