utama

Kantoi lemah bahasa Arab

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Hanya 40 peratus penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir, berjaya menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu antara dua hingga tiga tahun saja.

Peratusan itu, sekali gus, menunjukkan penuntut Malaysia berdepan kesukaran memperoleh Mumtaz dengan markah 90 peratus.

Malah, ada dalam kalangan penuntut berkenaan mengambil masa hingga lapan tahun atau lebih untuk menamatkan pengajian.

Menurut Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir) masalah itu sukar ditangani berikutan penguasaan bahasa Arab yang lemah dalam kalangan penuntut.

Berikutan itu YDKMM Mesir menganjurkan program Towards Excellent dan bengkel bahasa Arab dengan bantuan tenaga pengajar serta penuntut dari 12 negara lain.

Pengerusi YDKMM Mesir Haziq Iqbal Azero berkata, bengkel berkenaan yang dianjurkan baru-baru ini mendapat kerjasama daripada Education Malaysia Egypt (EME) dan Parlimen Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar.

Haziq berkata, penganjuran bengkel itu turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Indonesia, Kemboja dan Thailand dengan fokus mengenal pasti masalah penuntut serta mencari penyelesaian berkesan.

Katanya, penuntut cemerlang dari Malaysia yang memperoleh keputusan Mumtaz dijemput berkongsi pengetahuan bersama 161 peserta mengikuti bengkel.

“Bengkel turut disertai penuntut dari Indonesia, Thailand dan Singapura. Kami menjemput pensyarah Jabatan Hadith Universiti Al-Azhar Sheikh Samih Abdullah dan wakil Parlimen Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar. Mereka ini tokoh penuntut cemerlang di universiti berkenaan.

“Kami mendedahkan pelbagai teknik pembelajaran kepada peserta seperti kaedah VAK Style (Visual, Audio, Kinestatik Style) bagi membantu mereka memahami maklumat mahu disampaikan dengan lebih mudah,” katanya.

Menurutnya, program dan bengkel akan diteruskan pada masa akan datang untuk melahirkan lebih ramai penuntut memperoleh Mumtaz.

“Sebelum ini, boleh kata mustahil bagi sebahagian besar penuntut Malaysia memperoleh Mumtaz.

“Kami harap dengan usaha berterusan ini masalah penguasaan bahasa Arab dapat diatasi,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 7:34am
d