utama

Najib, Irwan didakwa pecah amanah RM6.6 bilion [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam tuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Najib, 65 dan Irwan Serigar, 61 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Najib selaku tertuduh pertama dan Irwan Serigar tertuduh kedua hanya mengangguk ketika ditanya sama ada memahami tuduhan dan memohon dibicarakan apabila diminta pengakuan.

Najib yang memasuki mahkamah pada 9.15 pagi sempat melemparkan senyuman kepada orang ramai di galeri awam diikuti Irwan Serigar sebelum kedua-duanya memasuki kandang tertuduh.

Mereka juga dilihat berbual-bual dalam kandang tertuduh.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Najib dan Irwan Serigar masing-masing didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta, iaitu berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan.

Bagi tuduhan ketiga pula, mereka didakwa diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta berjumlah RM220 juta, iaitu peruntukan mengikut ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)’, milik Kerajaan Malaysia.

Tuduhan keempat, kedua-dua mereka didakwa diamanahkan dengan penguasaan harta berjumlah RM1.3 bilion, iaitu peruntukan mengikut ‘Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai’, milik kerajaan.

Tuduhan kelima dan keenam pula membabitkan penguasaan mereka didakwa ke atas harta berjumlah CNY1,950,000,000.00 (bernilai RM1.26 bilion dan RM2 bilion) milik kerajaan.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas kesemua harta berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Bagi semua tuduhan itu, Najib dan Irwan Serigar menghadapi tuduhan mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama.

Untuk setiap tuduhan, masing-masing boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak selaku Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta bagi setiap tertuduh.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon supaya jumlah jaminan yang sebelum ini dikenakan terhadap anak guamnya digunakan bagi tuduhan terbaru.

Peguam Datuk K Kumaraendran sedang berhujah bagi mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadap Irwan Serigar kepada RM500,000.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 10:47am
d