utama

Sewakan aje la...

Oleh Badrul Kamal Zakaria

MUAR: “Daripada terbiar begitu saja, lebih baik disewakan kuarters kerajaan ini kepada orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka yang baru mendirikan rumah tangga,” kata peniaga, Aminah Kadir.

Aminah berkata, ia sekali gus dapat membantu golongan terbabit hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan pada masa sama pihak kerajaan sendiri juga akan mendapat hasilnya dalam bentuk bayaran sewa.

“Saya pun sudah lama fikir mengenai perkara ini. Contohnya di kawasan Pesta, Bakri, ada kuarters kerajaan tetapi ia akhirnya terbiar begitu saja. Jadi tempat orang menghisap dadah dan berpeleseran saja hingga menyebabkan keselamatan orang ramai juga tergugat.

“Lagi pun, apa salahnya jika kuarters kerajaan ini disewakan kepada golongan berpendapatan rendah, orang baru berkahwin atau mereka yang mungkin baru berpindah ke daerah ini daripada dibiarkan seperti sekarang.

“Paling tidak pun, ia akan membantu mereka hidup dalam keadaan lebih selesa, selain menjadi tapak awal kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui NSTP di sini, semalam.

NSTP melaporkan mengenai sebuah kuarters perumahan guru di Labis yang terbiar begitu saja sehingga ia menjadi tempat penagih dadah, pelajar ponteng sekolah dan remaja berpeleseran.

Susulan itu, NSTP juga membuat tinjauan di beberapa kuarters kerajaan di sekitar daerah ini dan mendapati terdapat banyak kemudahan terbabit dibiarkan kosong hingga menyebabkan prasarana itu juga sudah mengalami kerosakan.

Ia sekali gus merugikan kerajaan dan dana awam kerana kemudahan yang dibina bagi tujuan kebajikan kakitangan awam itu tidak dapat mencapai matlamat asalnya.

Aminah berkata, kuarters kerajaan juga dibina dengan menggunakan wang rakyat dan apa salahnya jika ia juga dapat dimanfaatkan kepada rakyat biasa walaupun mereka bukan kakitangan kerajaan.

Sementara itu, Maon Jelani, 50, berkata pihaknya juga berasakan kuarters kerajaan itu juga patut disewakan kepada orang ramai daripada dibiarkan begitu saja.

“Baik kuarters kerajaan ini disewakan atau dimanfaatkan bagi tujuan lain seperti asrama. Di Muar pun banyak kuarters yang terbiar dan lama-kelamaan banyak kerosakan.

“Di Muar ini juga walaupun ada rumah sewa biasa tetapi permintaan yang tinggi menyebabkan kediaman jenis itu makin mahal.

“Kalau kuarters ini disewakan, dapat selesaikan masalah ini dan mereka yang berpendapatan rendah atau sederhana pun dapat hidup lebih selesa,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 7:38am
d