utama

Siapa nak beli Equanimity?

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

BAKAL pembida yang berminat untuk membeli kapal layar mewah Equanimity milik ahli perniagaan Jho Low, dikehendaki membayar deposit AS$1 juta (RM4.18 juta) terlebih dulu.

Peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Ong Chee Kwan berkata, bayaran deposit itu diperlukan bagi memastikan hanya pembeli yang serius mengemukakan bidaan.

Beliau berkata, proses bidaan kapal layar mewah yang bernilai AS$250,000 (RM1 bilion) itu akan berlangsung selama sebulan bermula pada 29 Oktober ini sehingga 28 November.

Katanya, pembida yang layak akan menerima borang tawaran yang menandakan bahawa mereka menerima syarat penjualan.

“Ini bukan bidaan atas talian, tidak semua orang boleh mengemukakan bidaan. Kita akan menetapkan tarikh bagi pembida layak untuk melihat keadaan kapal.

“Borang tawaran itu pula akan dimasukkan ke dalam sampul yang dimeterai. Sheriff mahkamah (pegawai pelaksana mahkamah) akan membuka sampul itu bersama-sama dengan laporan penilaian (dokumen penilaian suit hanya diketahui oleh sheriff).

“Bagi pembida yang berjaya dipilih oleh sheriff mahkamah, dikehendaki membayar 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian,” katanya.

Chee Kwan berkata demikian selepas prosiding permohonan 1MDB untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi terma dan syarat penjualan yang akan disiarkan kepada umum ketika proses bidaan.

Beliau berkata, melalui prosiding dalam kamar itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris membenarkan terma dan syarat penjualan berkenaan.

Katanya, iklan berhubung penjualan kapal layar mewah itu akan disiarkan hari ini atau esok dalam akhbar tempatan dan antarabangsa

“Pembida yang berminat boleh menghubungi ejen pusat seperti tertera dalam iklan. Pembida yang layak juga akan dikemukakan dengan memorandum yang mengandungi maklumat mengenai proses bidaan dan status perundangan.

“Pembida atau pembeli yang berjaya akan mendapat pemilikan sah. Harapan kami ialah supaya kapal itu bukan lagi dalam pemilikan kami pada Disember ini,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Khadijah membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 2:24pm
d