utama

Aduh, sakitnya...

Oleh Amran Yahya

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengerang kesakitan apabila segenggam rambutnya ditarik hingga tercabut oleh seorang pesakit mental wanita di sebuah pasar raya di Kuala Pilah, kelmarin.

Selain kanak-kanak itu, sepupu mangsa berusia dua tahun turut berdepan nasib sama sebaik kepalanya diterkam lalu ditendang di bahagian perut.

Menceritakan kejadian itu, Zairi Yusoh, 36, berkata dia membawa anaknya, Nur Damia Qistina, 5, dan anak saudara, Nur Elisya Zaidi, 2, ke pasar raya itu untuk membeli barang dapur pada 5.15 petang.

“Sebaik tiba di pasar raya, saya makan di medan selera dan membiarkan anak serta anak saudara bermain di ruangan permainan elektronik.

“Sewaktu sedang menjamah makanan, saya terkejut mendengar jeritan Nur Damia.

“Saya bergegas ke sana dan mendapati seorang wanita tidak dikenali sedang menerkam mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Condong, Juasseh Tengah, Kuala Pilah, hari ini.

Menurut Zairi, dia meleraikan insiden itu namun wanita berkenaan menarik segenggam rambut anaknya hingga tercabut hingga berlaku pergelutan.

Katanya, wanita terbabit turut menendang perut anak saudaranya menyebabkan orang ramai datang membantu.

“Saya difahamkan wanita berusia 20-an itu pesakit mental, namun apa yang dikesalkan adalah bapanya turut berada di medan selera terbabit.

“Sebagai bapa, dia sepatutnya memantau pergerakan anak, tambahan pula mengetahui anaknya pesakit mental.

“Malah, lelaki itu tidak meminta maaf biarpun menyaksikan kejadian,” katanya.

Zairi berkata, wanita itu ditahan pihak polis selepas panggilan dibuat orang awam.

Beliau turut membuat laporan di Balai Polis Melang, Kuala Pilah, pada 6.18 petang hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok mengesahkan menerima laporan dan suspek diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas ditahan.

Bagaimanapun, katanya, kertas siasatan tidak dibuka kerana suspek adalah pesakit mental.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 12:29pm
d