utama

Tak kaut semua tawaran

Oleh Najiy Jefri

KEMBARA seni aktres berusia 23 tahun ini bagaikan magnet yang pantas menarik perhatian khalayak untuk mengikuti perkembangannya.

Impak persembahannya sentiasa menjadi perbualan penonton drama Melayu malah ramai memuji kemampuannya menjiwai apa saja watak.

Tidak hairanlah pelakon jelita bernama Zahirah MacWilson ini sering menjadi buruan syarikat produksi dan pengarah.

Meskipun dihujani pelbagai tawaran Zahirah bagaimanapun tidak terburu-buru memilih karya yang bakal dibintanginya.

Katanya, setiap tawaran yang datang perlu diteliti karakter dan jalan ceritanya agar apa dipersembahkan punya standard tinggi.

“Alhamdulillah, setakat ini karier saya berjalan dengan baik. Sebenarnya saya tidak akan terburu-buru menerima tawaran.

“Saya bukan individu yang kaut semua tawaran kerana penting untuk saya mengenali karakter bakal dibawa supaya lakonan sampai ke hati penonton.

“Biarpun banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki, sekurang-kurangnya pemilihan watak yang berbeza beri ruang kepada saya untuk belajar ilmu baharu.

“Saya mahu bertahan lama dalam bidang ini. Malah, kalau boleh biarlah kehadiran saya dihargai dan diiktiraf,” katanya.

Tambah Zahirah, dia juga bimbang sekiranya terlalu kerap muncul di kaca TV akan membuatkan penonton bosan.

“Saya kena rancang kerjaya dan pastikan diri ini terus diterima dan relevan.

“Justeru, saya ambil pendekatan untuk pilih naskhah yang bagus dan berkualiti. Soal kerap atau tidak muncul di kaca TV itu bukan perkara utama kerana apa yang lebih dipentingkan adalah persembahan saya melekat di hati penonton,” katanya.

Filem

Siapa sangka, tiga tahun mencanai bakat Zahirah akhirnya terpanggil untuk membintangi filem aksi.

Peluang bekerja dengan Ghaz Abu Bakar serta pelakon Zizan Razak dan aktres seberang, Luna Maya antara tarikan untuknya menerima tawaran menjadi sebahagian daripada karya yang belum diputuskan judul itu.

“Sebelum ini saya pernah beritahu belum bersedia untuk menjayakan filem walaupun ada banyak tawaran.

“Barangkali watak yang ditawarkan itu kurang sesuai dengan saya selain faktor kekangan masa.

“Namun apabila dilamar membintangi filem aksi ini, saya rasa sayang untuk tolak kerana wataknya mencabar.

“Tak sabar rasanya nak masuk set penggambaran filem ini bulan depan dan bekerjasama dengan barisan tenaga kerja yang hebat,” katanya.

Belum sedia bercinta

Pengakhiran kisah cinta dengan seorang pelakon bukan satu episod mudah buat Zahirah melupakan kenangan suka duka.

Masa berlalu, Zahirah bagaimanapun enggan terus mengenang kisah cinta yang sudah lama terkubur itu.

Zahirah berkata dia kini semakin matang dan bahagia melayari hidup tanpa cinta yang jauh lebih indah.

“Saya lebih mengenali diri saya yang sebenar. Meski bukan mudah untuk ‘move on’, saya belum terfikir untuk mencari pengganti.

“Buat masa ini fokus saya kerja. Lagipun, saya masih muda dan tiada apa yang ingin dikejar. Jika ada yang datang untuk kenal saya okay saja,” katanya.

Tambah Zahirah, dia akui ramai jejaka cuba mendekati, namun dia pula belum bersedia untuk bercinta.

“Memang ada yang nak berkawan dan cuba mendekati tapi nantilah dulu.

“Saya mahu kukuhkan karier seni selain bercadang membabitkan diri dalam dunia perniagaan fesyen,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 6:30am
d