utama

Cinta 'Pak Cik'

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Syazwan Msar

AMPANG: Berjanji bulan dan bintang sambil berikrar mahu menjaga hingga ke akhir hayat selain sanggup mengambil gadis terbabit sebagai isteri kedua.

Itu antara ‘ayat power’ digunakan lelaki berusia untuk menjerat gadis bawah umur sehingga mereka sanggup menyerahkan tubuh kepada individu yang kononnya kekasih sejati.

Lebih malang lagi gadis yang rata-rata berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun itu mengetahui risiko akan ditinggalkan atau dibiarkan terkontang-kanting selepas lelaki hidung belang terbabit mengetahui mereka hamil.

Trend terbaru itu menular dalam kalangan remaja pada masa kini dengan memilih lelaki berusia atas alasan lebih dihargai dan dilindungi biarpun individu berkenaan tidak berharta dan tiada pekerjaan tetap.

Rata-rata lelaki berkenaan berusia lingkungan 40 hingga 50-an malah boleh digelar datuk oleh gadis berkenaan berikutan jarak usia mereka terlalu jauh.

Antara yang terjerat dengan penangan ‘ayat power’ lelaki berusia ialah gadis dikenali sebagai Sarah, 17, yang baru saja melahirkan anak perempuan berusia empat bulan.

Sarah yang pada awalnya berat untuk menceritakan sejarah hitam itu mengakui terjerat dengan ayat manis lelaki seusia bapanya selepas perkenalan lebih dua tahun.

Katanya, lelaki berkenaan yang lebih mesra dengan panggilan Abang Mat berusia 50-an menjaganya dengan baik seterusnya dijanjikan untuk diambil sebagai isteri kedua jika hamil.

“Saya lebih berminat bercinta dengan lelaki berusia kerana perhatian yang diberikan membuat rasa lebih dihargai dan dilindungi namun hakikatnya mereka pun sama dengan lelaki hidung belang lain apabila terus hilang sebaik mengetahui diri ini hamil.

“Selepas keluarga mengetahui saya hamil, saya terus dibuang keluarga, malah ayah dan abang tidak boleh menerima situasi berkenaan sehingga kini menyebabkan saya terpaksa mendapatkan perlindungan di rumah ini,” katanya ketika ditemui di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang Indah di sini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, lelaki berkenaan sehingga kini tidak menghubunginya untuk bertanggungjawab terhadap perbuatannya malah dia dibiarkan saja tanpa sebarang bantuan atau sokongan.

“Janji hanya tinggal janji apabila segala kesusahan dan kesengsaraan terpaksa saya tanggung sendiri lebih-lebih lagi tiada pula insan tersayang untuk memberi sokongan menyebabkan hidup dalam tekanan.

“Jika difikirkan kembali, saya pun tidak tahu bagaimana boleh bercinta dengan lelaki terbabit namun kini saya reda dan akan membesarkan anak seterusnya memulakan hidup baru,” katanya.

Dalam kes berbeza, perkenalan menerusi laman sosial Facebook sebelum bercinta dan melakukan hubungan terlarang bersama lelaki yang layak digelar bapa antara situasi yang berlaku terhadap gadis yang hanya dikenali sebagai Aida, 16, menyebabkan dia kini hamil lima bulan.

Walaupun lelaki berkenaan sudah menghancurkan hidupnya namun Aida masih menaruh harapan kepada individu itu dan bersedia untuk berkahwin dengannya selepas melahirkan bayi nanti.

Menceritakan sejarah hitam itu, Aida berkata, dia berkenalan dengan lelaki terbabit yang berusia 40-an menerusi Facebook awal tahun ini sebelum mereka bercinta.

“Saya terpesona dengan layanan lelaki terbabit apabila dia sentiasa mengambil berat terhadap diri saya menyebabkan saya sanggup menyerahkan segalanya.

“Lelaki berkenaan menyuruh saya menggugurkan kandungan dengan makan nanas dan air berkarbonat selain mencari pil gugur janin selepas mengetahui saya hamil,” katanya.

Sebaliknya Aida berkata, dia tidak mahu melakukan tindakan terkutuk itu, malah bersedia untuk menjaga bayi berkenaan seterusnya menuntut janji lelaki itu yang dikatakan mahu mengahwininya.

“Saya tidak mahu lagi melakukan dosa besar dengan membunuh janin dan bayi yang bakal dilahirkan nanti adalah anugerah terindah seterusnya menjadi peringatan kepada saya supaya tidak melakukan perbuatan itu lagi,” katanya.

Tipu ibu bapa setiap kali keluar ‘dating’

DIA sanggup menggadaikan maruah dan rela hidup bermadu selepas termakan dengan janji manis seorang lelaki sebaya bapanya.

Biarpun orang tuanya melarang hubungan itu diteruskan, Aini, 17, enggan melepaskan cinta hatinya terhadap lelaki yang berusia 55 tahun itu.

Aini berkata, dia mengenali kontraktor terbabit yang menetap di Lembah Klang melalui Instagram (IG) sebelum mereka bertemu buat kali pertama pada awal tahun lalu.

“Pada mulanya kami saling berhubung menerusi DM (mesej langsung) sebelum bersetuju untuk bertemu di ibu kota.

“Selepas pertemuan pertama itu, kami kerap keluar pada hujung minggu sebelum saya akhirnya jatuh hati padanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, setiap kali keluar, dia akan menipu ibu bapanya yang menyangka dia bertemu rakan sebaya.

“Kami bukan setakat keluar bersama malah lebih berani lagi sudah sampai ke hubungan kelamin biarpun mengetahui dia sudah beristeri dan ada anak sebaya saya.

“Saya tidak tahu kenapa boleh bercinta dengan lelaki lebih berusia, mungkin cara dia melayani dan mengambil hati membuatkan saya cepat cair,” katanya.

Aini berkata, lelaki terbabit ingin bertanggungjawab dengan mengambilnya sebagai isteri kedua namun hasrat itu dihalang ibu bapanya.

“Saya memberitahu hasrat kami untuk bernikah kerana sudah terlanjur dan mahu tebus semula kesilapan kami.

“Namun ibu bapa saya menghalang niat kami itu kerana status lelaki berkenaan yang masih suami orang,” katanya.

Aini yang masih menuntut di sebuah kolej di ibu negara berkata, dia mengalami tekanan akibat hasratnya dihalang ibu bapa.

“Saya kini menjalani proses rawatan kaunseling untuk memulihkan diri dan menerima kenyataan ini.

“Jujur buat masa ini, saya sukar melupakan lelaki itu kerana terlalu sayangkannya,” katanya.

Dahaga kasih sayang faktor utama

DAHAGAKAN perhatian dan kasih sayang antara faktor yang membuatkan remaja perempuan bercinta dengan golongan lelaki jauh berusia.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, modus operandi digunakan lelaki berusia yang berpengalaman dalam melayani wanita menyebabkan ramai remaja cair dan terperangkap dalam cinta golongan itu.

“Mengikut teori Maslow, setiap individu perlukan penghargaan, kasih sayang dan keselamatan.

“Jadi jika keperluan asas ini dapat dipenuhi oleh seseorang, tidak mustahil remaja yang perlukan perhatian itu mudah terjebak.

“Kononnya dia rasa dihargai kerana ada tempat berkongsi masalah, dapat perhatian dan jika pasangan itu ada duit itu akan buat mereka lebih rasa seronok, ” katanya.

Menurutnya, perkara itu adalah lumrah berikutan peringkat usia remaja antara 15 hingga 19 tahun masih mencari identiti diri.

“Peringkat ini mereka masih terawang-awang untuk pembentukan identiti diri yang banyak aspek antaranya sikap, keperibadian, imej dan sebagainya.

“Apabila ada orang luar memberikan kasih sayang dan perhatian lebih kepadanya, sudah tentu remaja terbabit mudah jatuh hati tanpa mengetahui niat sebenar orang itu.

“Jika mereka bertemu dengan kelompok yang mungkin hanya mahu ambil kesempatan, remaja itu tersasar dan mudah diperdaya dan di sini peranan ibu bapa amat penting,” katanya.

Katanya, sepanjang tahun ini, dia menerima 10 kes seumpama itu yang dirujuk orang awam sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang perlukan bantuan kaunseling.

“Selain kemahiran kaunseling, seseorang kaunselor itu perlu mengamalkan kaedah psikoterapi seperti terapi muzik, lukisan dan permainan untuk membantu klien meluahkan apa yang mereka alami tanpa perlu membuat mereka membuka mulut,” katanya.

“Pada masa sama, kaedah psikometrik boleh digunakan untuk menaikkan ketegasan diri dan menolak sebarang ajakan negatif.

“Bagi kes perlukan perhatian serius, biasanya saya cadangkan klien mendapatkan khidmat kaunseling intensif daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 10:35am
d