utama

Bos pemurah

Oleh Agensi

NEW DELHI: Saudagar berlian dari Surat, India, yang terkenal memberi hadiah mahal kepada pekerjanya, menghadiahkan sebuah kereta kepada 600 pekerjanya sempena Deepavali tahun ini.

Savji Dholakia, pemilik Hari Krishna Exporters, menghadiahkan kereta jenis Renault KWID dan Maruti Suzuki Celerio kepada mereka manakala ribuan lagi pekerja menerima simpanan wang tunai dan apartmen.

Menurut portal berita New Indian Express, harga semua kereta terbabit ialah AS$2 juta (RM8.4 juta).

“Harga sebuah kereta itu ialah masing-masing AS$5,988 (RM25,000) dan AS$7,349 (RM30,682),” kata Dholakia melalui Facebook.

Reuters melaporkan, Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut membantu menyerahkan kereta terbabit kepada pekerja syarikat berkenaan.

Modi berucap melalui siaran video ketika majlis penyerahan hadiah di rumah Dholakia di Gujarat selain turut menyerahkan kunci kereta kepada pekerja syarikat terbabit di New Delhi.

Pada 2016, Dholakia menghadiahkan ratusan apartmen kepada pekerjanya sempena Deepavali.

Menurut Dholakia, pemberian hadiah bagi menghargai kakitangan yang setia dalam perniagaan syarikatnya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 8:17am
d