utama

Pertimbang tarik diri

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA akan memikirkan untuk buat keputusan keluarkan dia dari Gegar Vaganza," kata pengurus Zamani Slam, Johan Aziz, berikutan kejadian menimpa artisnya, semalam.

Zamani atau Zamani Ibrahim mengejutkan peminat apabila gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta kerana menghadapi masalah sakit tekak yang serius.

Dia bagaimanapun terselamat daripada penyingkiran dan mara ke minggu keenam selepas diselamatkan oleh imuniti Datuk Aliff Syukri, penaja utama Gegar Vaganza musim kelima.

Johan yang menguruskan kumpulan Slam sejak 26 tahun lalu mengakui, Zamani ada menghubunginya dua hari sebelum siaran langsung bagi memaklumkan masalah yang dihadapinya.

"Dia beritahu tekaknya sakit dan saya mencadangkan agar dia tarik diri. Zamani bagaimanapun menjelaskan bimbang Astro tidak membenarkan dia berbuat demikian dan perlu jaga hubungan dengan mereka.

"Dia juga minta saya membawanya bertemu pakar untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi.

"Namun, sekali lagi dia mahu menghabiskan program ini terlebih dahulu kerana perlu ikut kehendak stesen," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Johan, dia perlu memberikan masa untuk Zamani berehat terlebih dahulu sebelum memikirkan apa yang perlu dilakukan.

"Saya belum berjumpa dia. Apabila situasi dah okay, barulah saya akan berbuat demikian. Pada pandangan peribadi saya, cukuplah dia berada dalam GV dan tarik diri adalah jalan terbaik buatnya," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 4:41pm
d