utama

Bukan video JT610 lah !

Oleh Wartawan NSTP

VIDEO berdurasi satu minit yang didakwa dirakam oleh penumpang pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia adalah tidak benar.

Sebaliknya, memetik laporan sebuah portal berita Indonesia, video berkenaan adalah rakaman oleh penumpang pesawat Lion Air JT 353 dari Padang menuju Jakarta, beberapa tahun lalu.

Terdahulu media melaporkan tular sebuah video berdurasi satu minit menunjukkan sekumpulan penumpang menjerit dan melaungkan takbir selain beristighfar dalam keadaan kabin gelap.

Buat beberapa ketika, video terbabit turut menunjukkan keadaan di luar pesawat yang agak kabur dan terdapat beberapa gegaran kecil sepanjang seminit visual berkenaan.

Bersama video itu, turut tular video operasi Agensi Bencana Nasional Indonesia (BASARNAS) yang berdurasi seminit 27 saat.

Video terbabit menunjukkan agensi berkenaan menemui serpihan pesawat bersama cebisan badan manusia dipercayai milik penumpang berkenaan.

Pesawat JT610, penerbangan ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka Belitung, Indonesia itu dilaporkan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkal Pinang jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas berkenaan.

Berdasarkan kenyataan, Kementerian Luar hari ini, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sudah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 7:17pm
d